23 Jun 2011

Isa Samad: Pinjam duit KWSP satu 'penghormatan'

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berkata tidak ada masalahnya jika Felda meminjam wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – berjumlah RM6 bilion seperti yang ditimbulkan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) sebelum ini.

Mohd Isa turut menangkis tanggapan bahawa pinjaman berkenaan menunjukkan Felda kini menghadapi krisis kewangan walau dilaporkan meraih keuntungan sebanyak RM1.197 bilion tahun.

Beliau berkata pinjaman berkenaan merupakan satu "penghormatan" kepada Felda kerana ia menunjukkan keyakinan KWSP bahawa lembaga pembangunan tanah itu mampu melunaskan pinjaman berkenaan.

"Apa masalahnya pinjam? Kita pinjam pun daripada (KWSP), (KWSP) bagi kita pinjam itu juga satu penghormatan sebab yakin pada kita, kita boleh bayar.

"Kalau saya meniaga saya ada duit, takkan saya nak guna semua duit saya sendiri, saya mesti pinjam. Itu yang penting, apa yang masalahnya kalau pinjam?

"Saya pun tak tahu apa masalah yang ditimbulkan itu. Saya beli kereta pun pinjam, saya tak tahulah kalau semua orang ANAK ini semua bayar tunai, saya tak tahulah," katanya lagi, menyindir NGO yang menimbulkan isu berkenaan.

Selain ANAK, perkara itu juga ditimbulkan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menuntut Felda menjelaskan sama ada salah sebuah anak syarikatnya – Felda Global Ventures – mengalami kerugian dalam pelaburan di seberang laut.

Dalam satu kenyataannya, Anwar mendakwa kerugian daripada pelaburan dalam tempoh 2007 hingga 2010 itu berjumlah hampir RM500 juta.

Kerugian itu didakwa melibatkan pelaburan ke dalam syarikat Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT-ETGO Canada, Felda Global Ventures Middle East dan juga Felda Global Ventures Arabia.

Pernah rugi

Sementara itu, ditanya sekiranya beliau menyentuh mengenai kerugian yang dialami Felda Global Ventures dalam ucapannya terdahulu, Mohd Isa secara ringkas berkata beliau hanya menyentuh mengenai kerugian itu secara umum.

"(Felda) pernah juga rugi pada awal-awal, tapi yang penting adalah bagaimana kita menguruskan kerugian itu supaya jadi baik," katanya lagi.

Dalam ucapannya terdahulu, Mohd Isa turut meminta wakil peneroka ke AGM berkenaan supaya "bersyukur" dan "tidak terpedaya" dengan golongan tertentu yang didakwa terus "mencucuk" masyarakat peneroka berhubung kerugian yang dialami Felda.

"Kita akan rugi sebab perjuangan mereka ini sampai pilihan raya ke-13... Jangan terpedaya kata kami di Felda nak menindas, nak menipu. Tak ada begitu sebab kita tahu tujuan hendak hapuskan kemiskinan luar bandar.

"Ada orang mencucuk masyarakat Felda, tapi apa nak buat memang ada orang macam itu," katanya lagi yang dipercayai merujuk kepada tindakan berterusan oleh kumpulan peneroka yang memfailkan saman ke atas Felda.

malaysiakini/-

1 ulasan:

anonomymous berkata...

umno ambik yg kaki rasuah jadi pengerusi felda...same mcm letak ikan atas meja dan suruh kucing jaga ikan tersebut...x lama lagi jutaan ringgit wang kwsp hangus kerana felda rugi dan x mampu bayar pd kwsp kerana rugi...dan pada ketika itu si kucing umno akan letak jawatan pengerusi felda....ingat x peristiwa pada tahun 1996 dulu ratusan juta RM duit kwsp diinjetkan kedlm sykt milik yg mana anak Maha firaun mempuyai majoriti saham terbesar iaitu konsotium perkapalan berhad yg rugi teruk...apa dah jadi dgn duit tersebut sampai sekarang x dipulang pada kwsp...siapa punya angkara...