27 Jun 2011

Sindiket ekor sasar kereta VIP

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sindiket ramalan nombor ekor yang menjadikan orang Melayu sebagai sasaran baru kegiatan penipuan itu bukan saja memperdayakan mangsa dengan menawarkan khidmat sami Buddha yang menjanjikan kemenangan, malah turut menjadikan pemilik kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran eksklusif sebagai sasaran.

Bergiat aktif di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan umum terutama orang Melayu, sindiket terbabit dikesan menggunakan taktik mudah untuk mencari mangsa dengan menjadikan pemilik kenderaan mewah dengan ‘nombor VIP’ sebagai sasaran untuk memperdaya mangsa kononnya boleh menggandakan wang pertaruhan dengan pertolongan sami dari negara jiran.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata pihaknya menerima aduan individu yang nyaris menjadi mangsa sindiket terbabit selepas bersetuju menyerahkan deposit RM50,000 untuk membeli nombor ekor.

Menurutnya, sindiket itu menyasarkan pemilik kenderaan daripada orang kenamaan (VIP) berdasarkan nombor pendaftaran tertentu selain jenis kereta yang diguna bagi memudahkan mereka menjerat mangsa dengan tawaran memenangi wang judi terbabit.

Katanya, mangsa yang menghubungi nombor telefon tertera akan diyakinkan dengan kebolehan ‘luar biasa’ sami terbabit dikatakan mampu meramal tepat cabutan empat nombor ekor dengan nilai kemenangan mencecah jutaan ringgit.

“Sebaik berhubung menerusi telefon, satu pertemuan akan diaturkan wakil sindiket terbabit dan kesempatan itu digunakan untuk memujuk mangsa menyerahkan wang kononnya digunakan untuk membeli nombor ramalan yang ‘mendapat restu’ sami.

“Tidak cukup dengan itu, mangsa ditunjukkan gambar MMS menunjukkan sejumlah besar wang yang kononnya dimenangi mereka yang menyertai ‘pelaburan’ nombor ekor berkenaan,” katanya, semalam.

Muhd Khairun yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno berkata, mangsa akan ditunjukkan beberapa gambar wang berkenaan sebagai bukti kemenangan selain dipujuk menyertai pakej tertentu yang ditawarkan dengan harga berbeza.

Bagaimanapun, katanya, dalam kes terbaru minggu lalu, mangsa terselamat daripada menjadi mangsa sindiket terbabit selepas didesak menyerahkan wang kononnya sebagai imbuhan kepada sami terbabit walaupun pada awalnya bersetuju untuk berbuat demikian.

“Selepas didesak memasukkan wang ke dalam akaun, mangsa berasa tidak sedap hati dan membatalkan hasratnya menyertai skim judi terbabit. Dia membuat aduan kepada biro,” katanya.

Akhbar ini minggu lalu melaporkan kegiatan satu sindiket yang aktif di Lembah Klang dikesan cuba mengedarkan risalah itu dengan meletakkannya pada cermin kenderaan milik orang Melayu di kompleks beli-belah terkemuka di ibu negara dan Selangor.

metro/-

Tiada ulasan: