27 Jun 2011

Stadium Tereangganu Runtuh Belum Dibaiki, MB Kecewa

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU 27 JUN : Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa kecewanya kerana kajian terhadap punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak lebih dua tahun lepas masih belum siap.

Ahmad Said sebelum ini dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa kajian insiden itu akan siap sepenuhnya Jun ini, namun beliau kecewa apabila JKR memaklumkan hasil kajian itu hanya akan siap September depan.

"Tetapi apabila mesyuarat minggu lepas, saya dimaklumkan kerja-kerja kajian diserahkan kepada konsultan hanya pada bulan lepas (Mei) dan ia dijangka siap pada September depan.

"Saya merasa agak dukacita di atas kelewatan yang berlaku. Jadi saya tidak dapat komen apa-apa mengenai perkara ini, tanyalah JKR sendiri. Saya kecewalah sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Stadium Negeri dan Terengganu Ekuestrian Resort di sini sempena program sukan tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (Serikandi) selama lima hari mulai 5 Julai ini.

Kerja pembersihan runtuhan di stadium itu telah selesai sejak beberapa bulan lepas setelah bumbung utama stadium itu runtuh pada 2 Jun 2009 selepas digunakan semasa Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada 2008.

Namun stadium itu masih terbengkalai apabila kerja baikpulih belum dapat dijalankan sehingga sekarang kerana kajian oleh konsultan belum selesai.

tv selangor/-

Tiada ulasan: