24 Jun 2011

Tiga produk perubatan tradisional didapati mengandungi racun berjadual

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Tiga produk perubatan tradisional iaitu Mistura Zhike, Chi Kat Pills dan Herbaios-Zuekertec Capsule didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan, menurut Kementerian Kesihatan.

Kementerian itu telah membatalkan pendaftaran ke atas ketiga-tiga produk itu yang dipegang oleh Metro Signature Sdn Bhd, Nature Park Enterprise dan Sinar Aman Pharmaceutical (M) Sdn Bhd sejak 26 Mei lepas setelah mengesan bahan racun berjadual itu.

Produk Mistura Zhuike didapati mengandungi ephedrine dan pseudoephedrine, Chi Kat Pills mengandungi ephedrine dan Herbaios-Zuekertec Capsule mengandungi glibenclamide dan metformin, menurut kenyataan Bahagian Perkhidmatan Farmasi kementerian itu di sini hari ini.

Orang ramai yang mempunyai stok produk tersebut diminta menghentikan pengunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan jika memerlukan maklumat lanjut.

Sementara penjual dan pengedar ubat-ubatan itu dinasihatkan menghentikan penjualan dan pengedaran kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang disabit kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Sementara syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya, menurut kenyataan itu.

Penggunaan ephedrine dan pseudoephedrine tidak dibenarkan dalam produk tradisional kerana ia boleh membawa kesan sampingan kepada pengguna sekiranya digunakan tanpa pengawasan iaitu tekanan darah tinggi, halusinasi, schizophrenia dan delusi.

Sementara itu penggunaan glibenclamide dan metformin tanpa nasihat doktor boleh menyebabkan kesan yang serius seperti hypoglycemia (penurunan mendadak paras gula dalam darah) yang membawa simptom seperti pening menggigil, berpeluh, keliru dan lesu, menurut kenyataan itu.

Hypoglycemia yang teruk boleh menyebabkan sawan, tidak sedarkan diri atau koma dan ia juga berisiko kepada pesakit diabetes, menurutnya.- Bernama

Tiada ulasan: