05 Jun 2011

Umno akan jatuh bukan kekuatan Islam sahaja tetapi..

3 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Kerajaan BN yang ditunjangi Umno BN pasti akan jatuh suatu masa nanti bukan hanya kerana kekuatan umat Islam semata-mata, tetapi juga kerana kezalimannya sendiri sepanjang memerintah negara ini sejak lebih 50 tahun lalu.

Catatan sejarah membuktikan kejatuhan kerajaan Parsi dan Rom bukan sahaja kerana kekuatan umat Islam, tetapi juga kerana kezallman pemerintahnya  terhadap rakyatnya sendiri, walaupun kedua-duanya merupakan kuasa besar dunia pada masa lalu.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Umno BN juga pasti akan mengalami nasib serupa suatu masa nanti ekoran kezalimannya terhadap rakyat sejak sekian lama.
Menurut beliau, ini terbukti dengan pelbagai tindakan buruk Umno  BN terhadap rakyat dengan menaikkan harga petrol dan barangan keperluan utama sehingga rakyat hidup dalam keadaan amat terhimpit.

Katanya, selain itu, Umno BN turut mengabaikan perintah Allah dalam pemerintahannya sehingga menyebabkan munculnya pelbagai gejala sosial di tanah air.

"Untuk kepentingan sendiri termasuk untuk menyekat kebangkitan rakyat bersama PAS dan Pakatan Rakyat, para pemimpin Umno BN juga sanggup menggunakan wang rakyat," katanya ketika menyampaikan ceramah perdana malam tadi.

Dalam ceramah yang diadakan di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor  di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, beliau menegaskan, PAS sebenarnya tidak mahu berkelahi dengan Umno, tetapi hendak membawa Umno ke jalan selamat.

"PAS menyertai demokrasi pilihanraya untuk mendidik manusia ke arah kebaikan kerana membawa manusia ke jalan kebaikan itu walaupun seorang, pahalanya berpanjangan hingga ke akhirat sampai bila-bila," tegasnya.

Kini, menurut beliau, rakyat sendiri boleh menilai perbezaan Umno BN dan PAS bersama Pakatan Rakyat dengan hasrat PAS untuk memerintah negara ini dengan negara berkebajikan.

"Bagi umat Islam yang buta sejarah, mereka tentu berasa asing dengan negara berkebajikan.Tetapi bagi pemerintahan Islam, ia tidak terpisah dengan negara berkebajikan," katanya.

Konsep negara berkebajikan, jelas beliau, bagaimanapun telah dilaksanakan di negeri-negeri yang pernah diperintah oleh PAS beberapa tahun lalu iaitu di Terengganu dan Perak dan kini turut dilaksanakan di negeri-negeri yang berada dalam Pakatan Rakyat.

"Hasilnya di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, walaupun disekat dari bantuan kewangan oleh Kerajaan Pusat, tetapi tetap ternyata lebih baik dari negeri- negeri yang berada di bawah Umno BN," katanya.

Untuk membolehkan rakyat di negara ini mengetahui perkara itu dengan lebih jauh, katanya, rakyat perlu memberi peluang kepada PAS dan Pakatan Rakyat memerintah negara ini hanya untuk satu penggal.

"Kami akan tunjukkan buktinya dengan apa yang kami kata. Kepada Umno pula, bertaubatlah dan marilah bersama-sama dengan kami untuk memperjuangkan dasar Islam," ujar beliau.

Bob Lokman salahkan Umno

Sementara itu, bekas pelakon, pelawak dan penulis lirik lagu terkenal, Bob Lokman dalam ceramah ringkasnya di tempat yang sama menyuarakan kekesalannya dengan tindakan Umno yang menyesatkan umat Islam di negara ini.

"Disebabkan Umnolah, saya jauh dari PAS sehingga 25 tahun. Tapi kini saya bersyukur kepada Allah kerana diberikan kesempatan berada dalam PAS untuk bersama-sama berjuang di jalan Allah," tegasnya.

Beliau diberikan peluang berucap oleh pihak penganjur ceramah sempena Muktamar PAS Ke-57 yang berlangsuing di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, bagi melancarkan derma jihad.

"Inilah kali pertama saya berucap di Taman Melewar ini yang dulunya Markas Tarbiyah PAS Pusat, tapi kini dah menjadi Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad.

"Tak sangka pula saya diminta berucap di sini malam ini. Saya hanya hadir untuk berrsama kawan-kawan dalam PAS di sini pada malam ini untuk mendengar ceramah," katanya bersahaja.

Antara yang turut berucap di majlis itu malam tadi termasuk Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS yang baru, Datuk Husam Musa dan dua orang Naib Presiden PAS terdahulu yang terus dipilih, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Manakala antara yang turut hadir termasuklah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang baru, Siti Zailah Mohd Yusof dan Timbalan Ketua DMPP  yang baru, Dr Siti Mariah Mahmud.

Kira-kira 10,000 ahli PAS hadir di majlis tersebut sehingga menyebabkan orang ramai bukan sahaja sekadar memunuhi dewan, tetapi bertaburan di tepi-tepi jalan raya di sekitar Kolej yang mulai dihias cantik itu.
Harakahdaily

1 ulasan:

Qaseh Bonda berkata...

Pakatan Rakyat khususnya PAS kalau dibenarkan berhimpun, jangan sejuta hadir....berjuta2 rakyat turun dijalanan membuktikan sokongan yang tidak berbelah bagi.

Mak mah buat kerja bodo meraih sokongan sejuta rakyat untuk nak menang badminton...apa jadi?? Bungkus!!

Barisan kabinet melayu yang dah layu buat himpunan sejuta belia??Belia yang hadir hidup segan mati tak mau!!

Ribuan pengikut PAS kalau berhimpun menggerunkan UMNO yang hilang gigi tinggal gusi.

Kami makcik2 kat rumah tidak putus2 bermunajat untuk perubahan PRU akan datang.