13 Julai 2011

Abim gesa kerajaan perhalusi tuntutan Bersih

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) beranggapan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) wajar diperhalusi dan dipertimbangkan secara bersungguh-sungguh oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan.

Presidennya, Dr Muhamad Razak Idris turut menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan bagi meneliti dan menilai secara objektif tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih berdasarkan kepada beberapa perkembangan yang hangat berkaitan isu tuntutan itu.

Bagi tujuan tersebut, pihaknya ingin menyeru pihak SPR dan Bersih meneruskan usaha rundingan bagi menyahut titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang meminta supaya isu ini diselesaikan menerusi dialog.

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebahagian dari tuntutan-tuntutan tersebut di luar dari bidang kuasa SPR, kedua-dua pihak harus bersetuju tentang langkah-langkah yang seharusnya dilakukan untuk tempoh terdekat dan jangka panjang bagi merungkai isu-isu berbangkit berkaitan tuntutan tersebut.

Menurutnya, di dalam suasana masyarakat Malaysia yang terbuka hari ini dan kesedaran terhadap nilai-nilai demokrasi yang semakin tinggi, sebarang pengesyoran dan permintaan yang boleh membawa kepada pengukuhan amalan dan sistem demokrasi seharusnya diraikan secara positif dan konstruktif.

“Tambahan pula dalam konteks ini ialah berkaitan amalan pilihanraya yang merupakan nadi kepada sistem demokrasi itu sendiri,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebagaimana sedia diketahui, ujarnya amalan pilihanraya yang dihormati oleh semua pihak akan membawa kepada kewibawaan keputusan yang diperolehi.

Ini, tambahnya secara langsung akan menyumbang kepada kesatuan penerimaan terhadap mandat kepimpinan yang dibentuk dan diputuskan oleh rakyat terbanyak.

“Kepimpinan yang diperoleh menerusi mandat rakyat secara berwibawa akan mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan diyakini oleh segenap pihak di dalam dan di luar negara,” ujarnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: