08 Julai 2011

Ahli Majlis MPS sokong Bersih

6 Syaaban 1432H. [MOD] -

SELAYANG - Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyokong penuh Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan esok walaupun terpaksa diubahkan lokasinya ke stadium terpilih.

Sokongan tetap diberikan biarpun ahli majlis terlibat tidak memakai baju T Bersih seperti di sesetengah pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri ini yang berbuat demikian semasa menghadiri mesyuarat penuh.

Ahli Majlis MPS yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Selayang, Ahmad Zaidy Abdul Talib berkata, pihaknya yakin himpunan itu akan berjalan aman melainkan terdapat pihak mencetuskan provokasi.

“Pihak tidak bertanggungjawab boleh berbuat pelbagai cara dengan menyamar memakai baju Himpunan Bersih 2.0 sehingga ia dirampas oleh polis. Malah pihak tertentu juga boleh membelinya dan akan membuat apa sahaja untuk kepentingan mereka.

“Saya juga yakin sepenuhnya rakyat akan hadir dalam himpunan ini dengan memberi kerjasama baik kerana mereka hadir bukan untuk suka-suka atau membuang masa, tetapi berhimpun kerana inginkan keadilan dan ketulusan dalam pilihan raya,” katanya selepas Mesyuarat Penuh MPS Bulan Jun di bangunan MPS, di sini.

Menurutnya, semasa pihaknya membuat bancian undi dari rumah ke rumah di Selayang baru-baru ini, penduduk sering bertanya petugas mengenai status himpunan Bersih 2.0.

“Dalam membuat kerja bancian ini, ada mempertikaikan terdapat rumah mereka yang dimasukkan senarai nama pengundi hantu yang tidak sepatutnya berlaku. Ini menimbulkan tanda tanya mereka,” katanya.

Terdahulu sehubungan menuntut hak keadilan ini menurutnya, pihaknya daripada peringkat pimpinan Pakatan Rakyat (PR), Ahli Majlis MPS dan Pas kawasan Selayang akan memberi sokongan penuh semasa himpunan Bersih 2.0 nanti.

Ahmad Zaidy berkata, kemungkinan pihaknya akan menghantar seramai mungkin untuk hadir dalam himpunan itu sekitar 3,000 lebih ahli Pas Selayang.

“Terima kasih juga kepada semua pihak penganjur dan peguam yang sanggup memberi kerjasama untuk membantu dan memberi khidmat guaman dalam Himpunan Bersih 2.0 nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ahli Majlis MPS, Maznah Abdul Aziz berkata, walaupun tidak memakai baju T Bersih semasa mesyuarat itu, tetapi sokongan sepenuhnya terhadap himpunan terbabit tetap diberikan.

sinarharian/-

Tiada ulasan: