13 Julai 2011

Pemuda P Pinang sedia sertai lagi himpunan Bersih

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

PERMATANG PAUH, 13 Julai: Walaupun seramai 117 Pemuda PAS Pulau Pinang yang telah ditahan oleh pihak polis dalam himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai yang lalu, ia tidak sedikit pun menakutkan atau mematahkan semangat juang yang ada, kata ketuanya, Yusni Mat Piah.

Menurut beliau lagi, apa yang dikesalkan ialah sikap biadap pihak keselamatan dalam menangani peserta himpunan aman tersebut.

"Sepatutnya mereka sebagai penguasa mempamerkan contoh dan teladan yang baik sebagai pentadbir untuk menangani himpunan suara rakyat tersebut.

"Mereka tidak sepatutnya berlagak ala samseng, kerana kita adalah rakyat yang menyuarakan hasrat dalam sebuah negara yang menjadikan demokrasi sebagai sistem pemerintahan.

"Kita juga bukannya penjenayah maupun pengganas. Oleh itu, pihak polis sepatutnya tidak melampau dalam menjalankan tugasan mereka sejajar dengan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Exco Pemuda PAS Pusat, menyatakan Pemuda PAS negeri akan tetap meneruskan perjuangan bersama rakyat yang lain untuk meneruskan kesinambungan Bersih 2.0 sekiranya ada kesinambungan tersebut selepas ini.

Jelasnya lagi, kecederaan pada kaki kanan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, sehingga memaksa beliau membuat pembedahan pada Jumaat ini, tidak boleh dipandang remeh.

"Ia adalah provokasi pihak berkuasa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka. Oleh itu keadilan mengikut lunas undang-undang mesti dilaksanakan segera supaya mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan," tegasnya lagi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: