13 Julai 2011

Sambung Kontrak Presiden KTMB, RUM Kecewa

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 13 JULAI : Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) yang mewakili 3,600 ahli kecewa dengan keputusan Putrajaya melanjutkan kontrak presiden syarikat itu Dr Aminuddin Adnan dua tahun lagi.

Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata, RUM membuat pendiriannya pada satu mesyuarat yang diadakan malam kelmarin.

“Majlis Exco RUM melahirkan kekecewaan kepada kerajaan yang tidak mempedulikan suara kami yang menolak Dr Aminuddin sebagai Presiden KTMB dengan menyambung kontraknya selama dua tahun (lagi),” katanya dalam satu kenyataan kepada The malaysian Insider.

Menurut Abdul Razak, walaupun belum ada kenyataan rasmi mengenai keputusan dilanjutkan tempoh perkhidmatan tetapi maklumat yang diperoleh kesatuan mengesahkan perkara tersebut.

“Maklumat yang kami terima dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan mengesahkan keputusan Presiden KTMB dilanjutkan dua tahun lagi,” katanya.

Abdul Razak berkata pihaknya sentiasa menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi merasa amat terkilan dengan keputusan melanjutkan kontrak perkhidmatan dan pandangan kesatuan tidak diambil kira.

“Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan hanya slogan tetapi gagal dipraktiskan, suara individu didengari, suara ramai dikebelakangkan.

“Maaf saya terpaksa melahirkan kenyataan ini, kerana tiada siapa yang mahu mendengar keluhan kesatuan,” katanya lagi.

KTMB merupakan salah satu agensi kerajaan yang diswastakan pada awal 1990-an.

Abdul Razak juga berkata pihaknya akan mengadakan protes dalam waktu terdekat mengenai isu tersebut.

Pada Julai tahun lalu, RUM mendesak Aminuddin meletakkan jawatan sebagai Presiden KTMB kerana didakwa gagal mencari jalan penyelesaian dalam isu penubuhan ET Sdn Bhd (ET) sebagai pengendali perkhidmatan tren elektrik (ETS).

Aminuddin dilantik ke jawatan itu pada pertengahan 2009.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Abdul Razak berkata, Aminuddin gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang presiden terutamanya dalam hal yang berkaitan KTMB.

“Dalam tempoh tersebut (11 bulan sejak dilantik) beliau (Aminuddin) telah menyebabkan berlaku penurunan produktiviti KTMB kerana sikap lepas tanganya yang tidak melaksanakan tugas sebagai presiden dengan baik.

“Selain itu beliau gagal menjaga hubungan keharmonian dalam RUM, kita desak beliau meletakkan jawatan,” katanya Abdul Razak.

RUM mempunyai 3,600 ahli.

Aminuddin sebelum ini memberitahu bahawa penubuhan ET dilihat antara pelan transformasi dalam memastikan KTMB lebih berdaya saing, mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif, budaya kerja dan disiplin yang lebih cemerlang.

tv news/-

Tiada ulasan: