19 Ogos 2011

Berpuasa belum tentu bertakwa

19 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Orang yang menjalani ibadat puasa pada bulan Ramadhan belum tentu bertakwa, lebih-lebih lagi sekiranya mereka menentang perjuangan Islam dalam kehidupannya di dunia ini.

Manusia seperti itu banyak terdapat di muka bumi Allah ini dan mereka juga adalah antara golongan yang disebutkan oleh Rasulullah saw dalam jumlah yang banyak di kalangan umat Islam, tetapi hanyalah seperti buih.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Selangor, Tarmizi Md Din berkata, antara tanda orang yang tidak bertakwa termasuklah para pemimpin yang tergamak atau sanggup menyalahgunakan wang rakyat.

Menurut beliau, sehubungan itu, setiap pemimpin berkewajipan memerhatikan isteri dan anak-anak mereka supaya tidak turut menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan diri dan keluarga mereka.

"Jadi dalam hal ini, kalau ada isteri pemimpin yang sanggup menyalahgunakan wang rakyat sehingga RM24 juta hanya untuk membeli cincin, adakah orang seperti itu bertakwa?" katanya ketika menyampaikan tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, semalam.

Pemimpin dan isteri pemimpin yang sanggup mencuri wang rakyat dan mengkhianati amanah rakyat, menurut beliau, adalah manusia yang mempunyai penyakit di dalam hatinya.

"Dalam hadis, Rasulullah saw menjelaskan, penyakit yang ada di dalam hati orang seperti itu adalah penyakit waham, manakala penyakit waham itu ada dua perkara iaitu cintakan dunia dan benci kepada mati," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga AJK Dewan Pemuda PAS Gombak menasihatkan setiap umat Islam supaya sentiasa bermuhasabah agar tidak turut tergolong dalam golongan itu demi kepentingan hidup di dunia dan akhirat.

Katanya, umat Islam di seluruh dunia kini sudah tidak lagi disegani dan ditakuti oleh orang-orang bukan Islam sehingga menyebabkan umat Islam sering diperlakukan dengan tindakan yang tidak sepatutnya oleh orang-orang kafir.

"Maklumat terbaru yang kita perolehi menunjukkan umat Islam di sesetengah negara kini telah dilarang berpuasa. Malah sekiranya berpuasa, mereka akan dipenjarakan dan dihukum,"katanya.

Dalam kes terbaru lain, katanya, terdapat seorang isteri yang menang dalam perbicaraan di mahkamah di luar negara berhubung isu pemakaian tudung lalu dibenarkan memakai tudung.

"Seorang lelaki yang memusuuhi Islam yang berada di dalam mahkamah itu tiba-tiba terus menikam wanita tersebut berbelas kali. Suami wanita itu berusaha menyelamatkan isterinya kemudian turut ditikam oleh lelaki tersebut sehingga menyebabkan kedua-duanya terbunuh.

"Kejadian tersebut berlaku di sebuah negara bukan umat Islam, di dalam mahkamah dan di hadapan hakim yang mengadili kes itu dan turut memberikan kemenangan kepada wanita tersebut.

"Tetapi sudahnya kes itu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang pembellaan dari sebarang pihak. Begitulah lemahnya umat Islam di seluruh dunia sekarang," ujarnya.

Kejadian tersebut, menurutnya, perlu direnungi dengan mendalam oleh setiap umat Islam kerana ia berpunca dari kesilapan umat Islam sendiri yang tidak benar-benar berpegang dengan ajaran islam dalam pelbagai aspek seperti yang dituntut oleh Allah.

"Ini menjadikan umat Islam hidup dalam keadaan terhina kerana tidak mendapat pertolongan Allah dalam pelbagai aspek, malah perasaan takut kepada umat Islam turut dicabut oleh Allah dari hati orang-orang kafir," katanya.

Untuk menebus maruah, beliau mengingatkan umat Islam agar tidak hanya Islam pada nama, tetapi beramal dengan ajaran Islam secara sumul dengan berbekalkan keikhlasan kepada Allah dalam setiap amalan yang dilakukan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: