07 September 2011

Nyaris maut terminum racun

9 Syawal 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang wanita dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini selepas terminum racun semut disangka sirap dibancuh suaminya di rumah mereka di Kampung Rambutan Rendang di sini, semalam.

Norhafiza Badli Afendi, 27, mengalami kekejangan dan mulut berbuih selepas terminum racun itu dalam kejadian pada 11 pagi.

Suaminya, Mohd Din Yusof, 27, berkata, sebelum itu beliau membancuh racun semut itu yang berwarna hijau dan memasukkannya dalam gelas dan diletakkan di atas meja makan.

“Saya keluar bagi mengambil pam penyembur racun dan tidak sangka isteri saya yang menyangka ia sejenis sirap pandan telah meminumnya ketika saya keluar sebentar.

“Isteri saya sukar bercakap dan terketar-ketar selepas meminumnya. Keadaan dia sekarang sukar untuk bercakap dan darah mengalir dari mulut dia,” kata Mohd Din ketika ditemui di wad kecemasan hospital itu.

Pasangan itu mempunyai empat anak, dua daripadanya sudah bersekolah.

Mohd Din berkata bahawa sebelum ini racun itu tidak dibancuh menggunakan air dan dia hanya menabur serbuk racun dibeli di pasar malam itu di seluruh kawasan rumah.

“Tapi kali ini saya rasa nak guna air dan menyembur pula sebab sebelum ini nampak tidak berkesan,” katanya kepada Sinar Harian.

sinar harian/-

Tiada ulasan: