07 September 2011

Pelancong Turki jadi mangsa Israel

9 Syawal 1432H. [MOD] -

ISTANBUL - Rakyat Turki mengadu diasingkan dan diperiksa di lapangan terbang Israel, kelmarin, menunjukkan kesan awal ketegangan hubungan diplomatik antara kedua negara.

Pelancong Turki mula merasakan kehadiran mereka tidak dialu-alukan, tiga hari selepas Ankara menghalau duta Israel kerana keengganan rejim itu memohon maaf terhadap serangan ke atas konvoi kemanusiaan ke Gaza, tahun lalu yang membunuh sembilan warga Turki.

Agensi berita Turki melaporkan, rakyat Turki yang tiba di Lapangan Terbang Ben-Gurion, Tel Aviv diarah menjalani pemeriksaan tubuh badan sebelum dibenarkan meninggalkan Israel.

“Rakyat Turki dipilih secara khusus untuk diberikan layanan buruk berbanding pelancong lain, dan bagasi kami diperiksa berkali-kali oleh pegawai keselamatan Israel,” menurut pemandu pelancong Turki, Eyup Ansar Ugur yang melawat Israel semasa Ramadan lalu.

Dalam masa sama, pelancong Israel pula membuat aduan serupa dengan seorang peniaga Israel, Hayuta Leibovich mendakwa diarah berdiri di sudut terminal setibanya di Istanbul dan disoal siasat serta perlu menunggu sehingga 90 minit sebelum dilepaskan.

Pihak lapangan terbang Istanbul menegaskan, Kementerian Luar Turki mengarahkan pelawat Israel diperiksa dengan lebih tegas sebagai tindak balas terhadap layanan buruk rejim itu kepada pelancong Turki.

Jumaat lalu, Turki membekukan kerjasama ketenteraan dengan Israel, menghalau wakil Tel Aviv dan mengancam mengambil tindakan undang-undang selepas laporan serangan itu dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

sinar harian/-

Tiada ulasan: