23 September 2011

Pusat Perlu Luaskan Bidang Kuasa Kerajaan Negeri Gubal Undang-Undang Islam

25 Syawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 23 SEPTEMBER : Bidang kuasa kerajaan persekutuan dengan menghadkan hak kuasa kerajaan negeri bagi membentuk undang-undang berkaitan agama, jenayah dan sivil seperti pelaksanaan Undang-Undang Hudud harus dipertimbangkan semula bagi memastikan kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa bagi penggubalannya, kata Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari.

"Parlimen telah melampaui kuasa dengan membuat undang-undang ke atas perkara yang sedia maklum diletakkan ke atas kerajaan negeri, jadi dengan adanya akta itu, bidang kuasa mahkamah syariah terbatas termasuk tidak mampu melaksanakan hudud," katanya.

Abdul Aziz berkata demikian bagi mengulas hasrat kerajaan negeri Kelantan pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melaksanakan Hukum Hudud yang menjadi perjuangan PAS selama ini namun ia dibatasi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Hukum Hudud yang melibatkan perundangan agama, jenayah dan sivil menyebabkan ia tidak boleh digubal oleh negeri kerana kuasa mengubal undang-undang jenayah dan sivil hanya terletak ditangan Parlimen.

Kerajaan Negeri terbatas untuk laksanakan Hukum Hudud di bawah Akta Mahkamah Syariah 1965 sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.

Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988 memberi Mahkamah Syariah bidang kuasa berasingan daripada mahkamah sivil, menjadikan Mahkamah Syariah bebas daripada campur tangan mahkamah biasa dan dianggap setaraf.

Kuasa Mahkamah Syariah yang terletak di bawah enakman negeri.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata ia bagaimanapun mampu dilaksanakan sekiranya akta tersebut diisytiharkan sebagai tidak sah di mahkamah atau kerajaan pemerintah bertindak menghapuskan akta tersebut.

"Sekiranya ada komitmen dipihak kerajaan untuk bertindak memudahkan perkara itu saya fikir ianya tidak akan mendatangkan masalah.

"Undang-undang itu adalah satu yang anamoli, suatu yang saya fikir sebagai tidak betul dalam sistem kita dan Umno sepatutnya mengambil tindakan memansuhkan undang-undang itu atau mengubahsuainya, sekirannya itu tidak berlaku, Kelantan boleh ke mahkamah untuk berhujah bagi membatalkan perkara tersebut supaya Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan menerusi pentadbiran yang ada yang ditadbir oleh Mahkamah Syariah negeri Kelantan," katanya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan sebagai berkata bahawa Pas berhasrat menubuhkan negara Islam, termasuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun walaupun bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin menyatakan keadaan masih belum kondusif selain kuasa Kerajaan Negeri yang terhad.

Menurutnya, sejak penubuhannya, PAS tekad menegakkan syiar Islam, malah di Kelantan parti itu sentiasa berusaha menjadikan Islam sebagai asas kehidupan.

“Kalau tidak mahu buat negara Islam, kita buat bumi sendiri, jangan menumpang bumi Allah (SWT), buat udara sendiri jangan menumpang udara Allah, buat matahari sendiri jangan menumpang matahari Allah, selagi kita menumpang di bumi Allah, maka agama yang Allah rasmikan ialah Islam,” katanya kepada media selepas Himpunan Kursus Peserta Kenegaraan 2011 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan, semalam.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong perlaksanaan hudud seperti yang dihasratkan kerajaan Kelantan.

Bagaimanapun, katanya Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dan ia adalah pandangan peribadi beliau.

“Secara dasar, saya percaya ini boleh dilaksanakan,” katanya.

Anwar berkata, rancangan Kelantan mahu memperkenalkan undang-undang hudud adalah spesifik dan ia meliputi dua aspek penting iaitu pentadbiran yang adil kepada undang-undang Islam dan memastikan hak bukan Islam dilindungi.

Walaubagaimanapun, DAP mempunyai pandangan yang berbeza apabila Pengerusinya, Karpal Singh mempersoal kewajaran Nik Aziz melaksanakan hukum hudud yang menurutnya berlawanan dengan perlembagaan persekutuan yang menyukarkan ia dilaksanakan di negara ini buat masa ini.

Melihat kepada senario ini, Dr Abdul Aziz yang dihubungi TvSelangor berpendapat pelaksanaan Hudud tidak mencacatkan sistem undang-undang negara kerana kerangka persekutuan yang bersifat fleksibel seperti sistem perbankan islam dan konvesional boleh berjalan serentak di negara ini.

"Bagi saya, kerangka persekutuan di Malaysia sebenarnya membenarkan dan itu lah sebenarnya keindahan dan kelebihan sistem persekutuan dimana kepelbagaian itu boleh ditangani dan dijalankan, ianya seperti perbankan islam dan perbankan konvesional, ianya berjalan serentak, supaya masyarakat boleh memilih mana satu yang sesuai dengan mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yakin bahawa pelaksanaan hudud mampu diterima setiap rakyat kerana ia membawa kebaikan dan menjamin kesejahteraan semua.

“Yang perlu takut adalah mereka yang bersalah, perompak dan pencuri yang merompak harta rakyat, dengan apa jua cara yang salah." katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur.

tv news/-