29 September 2011

Terangkan maklumat hudud kepada rakyat

2 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

RAWANG, 29 Sept: Selaras dengan agama rasmi negara ini iaitu Islam, sudah sampai masanya maklumat berhubung hukum hudud yang heboh diperkatakan pada masa kini diterangkan secara rasmi kepada rakyat.

Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin Baharum berkata, kerajaan dan agensi berkaitan perlu menghidupkan majlis forum dan program mendidik rakyat berhubung hukum hudud.

"Pendidikan mengenai perkara ini (hudud) penting supaya rakyat faham apa itu hudud dan pelaksanaannya. Namun sekarang, peringkat inipun masih belum beres.

"Rakyat tidak kira Islam atau bukan, masih tidak faham berkenaan hukum hudud. Sebab itu perlu teruskan program pendidikan dan setelah faham barulah perkara ini boleh dilaksanakan," katanya kepada Harakahdaily dalam program bersama penduduk Taman Rahmat Jaya, di sini semalam.

Dalam pada itu, ujarnya amat dikesalkan apabila golongan yang bukan arif berhubung agama Islam memberikan komen berlebihan berhubung isu hudud terutama di media.

Katanya, ini menyebabkan golongan memberikan kenyataan itu boleh menimbulkan kecelaruan pemahaman terhadap hukum yang sudah ditetapkan dalam Islam itu.

"Sepatutnya biar hanya orang alim dan berwibawa untuk bercakap hal hudud ini kerana sudah menjadi kewajipan golongan ini memberikan kefahaman kepada rakyat.

"Namun secara peribadi, pada saya tidak wajar kita sebagai orang Islam menafikan hukum yang telah ditetapkan Tuhan ini dan harus berusaha untuk ke arah itu," katanya.

Menurut Badrul Amin, pelaksanaan hukum hudud di negara ini bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Perlembagaan Persekutuan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: