27 Oktober 2011

Hudud: Biar Kelantan jadi makmal

29 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM,: Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Kelantan harus menjadi makmal kepada perlaksanaan undang-undang syariah tersebut.

Jika perlaksanaannya gagal, maka kerajaan negeri katanya akur dengan keputusan itu manakala jika berjaya maka tidak ada alasan perlaksanaannya ditolak di Malaysia.

"Kita berharap Kelantan akan menjadi makmal kepada perlaksanaan Hudud dan jika ia gagal maka kita menerimanya jika perlaksanaan itu berjaya maka tidak akan ada alasan untuk ia ditolak dari perlaksanaannya di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana anjuran SInar Harian bertajuk "Hudud Dilema dan Perlaksanaan" di sini semalam.

Tambahnya lagi, tujuan Kelantan ingin melaksanakan hudud adalah kerana hendak menghapuskan gejala sosial dan jenayah yang ada sekarang kerana ia dilihat mampu mengurangan gejala tersebut.

"Pada masa sekarang undang-undang biasa di negara ini tidak dapat mengatasi sepenuhnya gejala jenayah dan sosial yang berlaku yang mana setiap hari sentiasa ada kes ragut, pembuangan bayi dan juga rompakkan dilaporkan.

"Bagi saya setiap apa yang di maksudkan di dalam al-Quran tentang hudud saya yakin masalah ini dapat kita selesaikan kerana hudud akan memberi kesan kepada mereka yang melakukan kesalahan," jelasnya lagi.

Sementara itu pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan pendakwah bebas, Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah memberitahu perlaksanaan hudud ini perlu bagaimana kita menerima undang-undang buatan manusia kenapa perlu kita menolak undang-undang Islam.

"Dalam pada kita ingin melaksanakan Hudud ini perkara yang perlu kita lakukan adalah mencari jawapan kenapa mereka yang bukan Islam menolak hukum tersebut.

"Kita perlu beri penjelasan yang sewajarnya kerana setiap kaum perlu faham tentang Hudud itu terutamanya masyarakat Cina," katanya.

Dalam pada itu Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohd Isa Abd Ralip pula memberitahu apa yang ingin dilakukan oleh Kerajaan Kelantan adalah betul dan hanya perlu mengubah Akta Mahkamah Syariah 1988 yang hanya memerlukan majoriti mudah di parlimen.

"Kalau sebelum ini kita melihat apa yang ingin dilakukan oleh Kelantan bertentangan denga Perlembagaan Persekutuan, tetapi bila melihat kembali undang-undang saya bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh pensyarah undang-undangnya Profesor Abdul Aziz Bari yang mengatakan ia tidak langsung menyentuh langsung Perlembagaan yang sedia ada.

"Kalau nak laksanakan Hudud tak ada masalah tetapi kena pinda akta yang sedia ada yang hanya memerlukan majoriti mudah di parlimen.

"Kita melihat sekarang had hukuman yang telah ditetapkan oleh Akta Mahkamah Syariah hanya menetapkan konsep 356 iaitu tiga tahun penjara lima ribu hukuman dan enam sebatan, ini dilihat sebagai satu hukuman yang ringin sehinggakan rakyat masih lagi melakukan kesalahan walaupun telah dikenakan tindakan sebelum ini.

"Enakmen jenayah dalam bidang syariah perlu diubah dan diperkasakan seperti perlaksanaan Hudud kerana ia dapat memberi kesedaran kepada mereka yang berniat ingin melakukan jenayah-jenayah tersebut," katanya.

Wacana tersebut dikendali Pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Dr Maszlee Malik.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: