30 November 2011

Dagang manusia: Warga Thai ke penjara

4 Muharram 1433H. [MOD] -

KANGAR — Seorang rakyat Thailand dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan diperintah menanggung kos penahanan dan penghantaran pulang pendatang serta kos menyimpan kenderaan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana kesalahan pemerdagangan manusia.

Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad memerintahkan tertuduh, Suhaiming Jehmah, 35, dipenjara berkuatkuasa tarikh ditangkap serta memerintahkan tertuduh membayar kos penahanan dan pengangkutan lapan pendatang sebanyak RM2,000 manakala kos menyimpan kenderaan oleh Jabatan Imigresen sebanyak RM1,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah di hadapan Wan Norzanuar sebaik pertuduhan dibacakan melalui seorang penterjemah hari ini.

Lelaki itu yang bekerja sebagai pemandu van dituduh membawa lapan warga Thailand termasuk dua yang tidak mempunyai sebarang dokumen pada 31 Oktober 2011, kira-kira pukul 3 petang di kilometer 24, Jalan Padang Besar - Ulu Pauh.

Mahkamah turut memerintahkan kenderaan yang digunakan bagi membawa warga Thailand itu serta kuncinya dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia. — Bernama

Tiada ulasan: