15 November 2011

Ekonomi: Selangor perlu dicontohi

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM – Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyarankan Kerajaan Pusat mencontohi pengurusan ekonomi negeri Selangor yang berjaya meningkatkan hasil negeri dan simpanan tunainya.

Menurutnya, pengurusan wang yang beramanah sebagaimana dilakukan Kerajaan Negeri Selangor adalah bukti komitmen Pakatan Rakyat (PR) terhadap pemerintahan yang tidak berbelah bahagi.

“Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya meningkatkan hasil cukai anggaran 8.23 peratus dan hasil bukan cukai iaitu 40.12 peratus untuk tahun 2012.

“Ini menampakkan pengurusan ekonomi negeri yang menjanakan pembangunan yang cukup pesat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam bagi mengulas Belanjawan Selangor 2012.

Beliau berkata, selain itu, Simpanan tunai kerajaan Selangor kini telah mencecah RM 1.2 bilion di mana jumlah tertinggi sejak 28 tahun.

“Jumlah simpanan wang ini harus dibandingkan dengan hutang kerajaan persekutuan yang telah mencecah RM400 bilion.

“Jumlah hutang ini amat membimbangkan di mana tanpa reformasi yang mendalam, Malaysia mungkin akan menghadapi masalah yang sama dengan negara Eropah yang berdepan dengan krisis ekonomi yang cukup parah,” katanya.

Menurutnya, sebagai contoh, apabila PR mengambil alih pada Mac 2008, tiada sebarang rekod berkenaan hutang RM391 juta Syarikat Talam kepada kerajaan Selangor.

“Bagaimanapun, pimpinan baru kerajaan negeri yang meneliti setiap aspek pengurusan wang rakyat berjaya mengenalpasti serta mengutip balik wang yang dihutang oleh pihak swasta kepada rakyat.

“Hasil pembasmian ketirisan dan rasuah ini, ratusan juta ringgit telah berjaya dijimatkan dan dibelanjakan balik demi kebajikan rakyat,” katanya.

Katanya, bagi 2012, kerajaan Selangor akan menyambungkan segala inisiatif kebajikan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor, serta menambah sebanyak RM300 juta lagi iaitu hampir 15 peratus belanjawan sepenuhnya di bawah Geran Selangorku untuk meningkatkan lagi dana dan meringankan beban ekonomi rakyat.

“Program kebajikan kerajaan Selangor bersifat menghakupayakan rakyat supaya mampu berdikari, bukannya bersifat pertolongan ‘one-off’ sepertimana yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Pendekatan ini menunjukkan komitmen PR untuk memastikan setiap rakyat berpeluang mencari pekerjaan bermaruah dan pendapatan yang mencukupi serta setara dengan kos sara hidup,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: