14 November 2011

Keanggotaan Syria digantung

17 Zulhijjah 1432H. [MOD] -


Penduduk Syria berhimpun menyatakan sokongan kepada Presiden Bashar al-Assad selepas keanggotaan Syria dalam Liga Arab digantung di Damsyik, semalam. - afp

AMMAN 13 Nov. - Beratus-ratus penunjuk perasaan yang bersenjatakan kayu dan pisau menyerang kedutaan Arab Saudi di Damsyik dan pejabat konsulat Perancis serta Turki di bandar Latakia semalam sebagai bantahan terhadap keputusan Liga Arab menggantung keanggotaan Syria.

Menurut penduduk, kumpulan lelaki yang turut memekik slogan menyokong Presiden Bashar al-Assad bertindak memukul pengawal dan memecah masuk pejabat kedutaan Arab Saudi di Rummaneh yang terletak tiga blok dari pejabat Assad dan merupakan kawasan yang dikawal ketat polis.

"Kami sanggup berkorban darah dan jiwa demi Assad," jerit kumpulan penyerang itu.

Ogos lalu, kerajaan Arab Saudi memanggil pulang dutanya di Syria ketika Raja Abdullah menuntut penamatan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.

Sementara itu, serangan sama turut berlaku di bandar Latakia, 330 kilometer ke utara Damsyik di perairan Mediterranean dengan konsulat Perancis dan Turki menjadi sasaran kemarahan kumpulan penyerang.

Seorang diplomat di Damsyik mengesahkan serangan yang berlaku beberapa jam selepas Liga Arab menggantung keanggotaan Syria kerana gagal menunaikan janjinya untuk menghentikan tindakan keras ke atas penunjuk perasaan pro-demokrasi sejak lapan bulan lalu dan memulakan dialog.

"Serangan itu menyebabkan berlaku kerosakan di kedutaan Arab Saudi. Kami bagaimanapun tidak mendapat maklumat jelas mengenai kejadian di Latakia, tetapi dilaporkan ia sangat teruk," katanya. - REUTERS

Tiada ulasan: