15 November 2011

Perintis: Mengapa Melaka dipilih?

19 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

MELAKA, 15 Nov: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari berkata cadangan agar guru bekerja 9 jam wajar ditolak.

Adly berkata, beban tugas yang ada pada guru hari ini sudah banyak kerana bukan sekadar bekerja di sekolah tetapi dibawa hingga ke rumah.

Justeru, katanya kerajaan harus memberikan fokus kepada meningkatkan insentif kepada golongan guru.

"Bekerja 9 jam akan memberi tekanan kepada guru, sekaligus akan memberi kesan langsung kepada mutu pendidikan negara," ujar Adly.

Menurut Adly fokus yang harus diberi kepada guru adalah penyelarasan tugas, mencukupkan bilangan di samping meningkatkan kualiti, maka perhatian serius perlu diberikan kepada peningkatan gaji dan insentif.

"Amat malang, dan kenapa Melaka dipilih?" tanya beliau mengenai Melaka salah satu negeri yang akan dipilih selaku projek perintis bagi cadangan bekerja 9 jam.

"Mendengar 9 jam bekerja sudah meresahkan guru, mereka sudah cukup terbeban dengan tugas sedia ada."

Beliau juga menyokong langkah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menolak cadangan itu.

"Tekanan beban 9 jam ini pasti memberi kesan langsung kepada mutu generasi akan datang. Cadangan kerja 9 jam wajar ditolak dan tak perlu dijadikan ujikaji," katanya lagi.

Sebaliknya, menurut Adly cadangan Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga bagi memberikan insentif RM500 sebulan kepada semua warga pendidik adalah lebih praktikal bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: