10 November 2011

Tahanan wanita terakhir bawah ISA dibebaskan

13 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Tahanan wanita terakhir di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dengan kegiatan penyeludupan manusia dibebaskan hari ini selepas 217 hari menjalani proses pemulihan di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping di Kamunting di sini petang tadi.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk kembali ke pangkuan anak-anak yang lama saya tinggalkan, keluarga dan masyarakat," kata wanita berusia 48 tahun itu.

"Saya insaf dan tidak ingin mengulangi kesilapan. Wajib bagi kita rakyat Malaysia untuk taat kepada negara supaya tidak lakukan kesilapan yang boleh mendatangkan bencana kepada negara," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan, Tempat Tahanan Perlindungan Taiping di Taiping.

Katanya beliau tidak mahu lagi mengungkit atau menyebut lagi kisah lama itu kerana ingin membina hidup baru bersama-sama kedua-dua anaknya yang berusia 29 dan 25 tahun.

Sepanjang menjalani tahanan dan proses pemulihan, wanita yang merupakan seorang kerani perkapalan sebelum ini, telah mempelajari kemahiran kraftangan di samping ilmu agama dan aktiviti lain.

"Saya berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, semua pegawai dan anggota Tempat Tahanan Perlindungan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan lain-lain. Bagi saya ini tempat terbaik untuk menjalani proses pemulihan. Pemulihan di sini ternyata memang ke arah membina kehidupan yang baru," katanya.

Beliau dibebaskan pada 4.30 petang tadi dan kepulangannya ke pangkuan keluarga disambut oleh anaknya di Taiping.

Wanita itu yang ditahan sejak 7 April tahun ini merupakan antara empat wanita yang ditempatkan di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping sejak 10 tahun lepas. Tiga yang lain dibebaskan sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pembebasan wanita yang sepatutnya ditahan selama dua tahun itu dibuat dengan bersyarat dan berdasarkan penilaian tertentu khususnya mencakupi aspek keagamaan, psikologi serta kaunseling.

Pengarah Tempat Tahanan Perlindungan Taiping Mohd Roslen Ramly pula berkata jumlah tahanan yang masih menjalani proses pemulihan di situ kini sebanyak 37 orang, dan daripada jumlah itu, 23 adalah warga negara asing.

- Bernama

Tiada ulasan: