23 Disember 2011

Pelajar istimewa catat keputusan cemerlang

27 Muharram 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Biarpun bertubuh genit, Nurul Najihah Ishak, 15, tetap membuktikan dirinya mempunyai jiwa yang besar.

Dengan berketinggian 124 sentimeter, Nurul Najihah mencuri tumpuan apabila memperoleh 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perem­puan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat itu menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kategori Calon Istimewa (Pembelajaran).

“Saya gembira dan tidak menyangka dapat keputusan cemerlang. Ini semua hasil usaha gigih ibu bapa dan guru yang banyak memberi dorongan dan saya akan meneruskan usaha demi mengejar cita-cita untuk menjadi doktor,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, pelajar yang mengalami masalah saraf daripada SMK Tun Mamat, Muar, Lim Yi Zhan, 15, turut menerima anugerah yang sama selepas berjaya meraih keputusan 6A dan 2B.

“Ini merupakan sesuatu yang sangat menggembirakan dan saya akan terus berusaha di masa akan datang,” katanya.

Bagi pelajar yang mengalami kecacatan anggota akibat penyakit tulang belakang, S Lavanya, 15, dari SMK Tengku Mahmud Iskandar turut diumumkan sebagai pelajar cemerlang dengan keputusan 5A dan 2B.

“Saya bercita-cita untuk menjadi ahli farmasi dan subjek kegemaran saya Sains,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: