19 Disember 2011

Skandal NFC: PKR edar risalah sebar maklumat

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KLUANG - PKR bertindak mengedarkan risalah ‘Tolak Kerajaan 1Malaysia Lembu’ berkaitan skandal projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) di sekitar kawasan Simpang Renggam, petang kelmarin.

Risalah tersebut diedar susulan skandal projek berkenaan yang dikatakan ada kaitan dengan Menteri Pem­bangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan PKR mahu kerajaan menjelaskan isu tersebut.

Ketua Wanita Keadilan ne­geri, Natrah Ismail berkata, tujuan utama risalah itu diedarkan adalah menyentuh wang bernilai RM250 juta yang dikatakan telah disa­lahgunakan oleh Shahrizat.

“Kita difahamkan wang RM250 juta adalah wang pinjaman, tetapi masalahnya di sini siapa yang beri pinjaman kepada beliau (Shahrizat) sedangkan nilainya terlalu banyak.

“Kalau bukan wang rakyat, wang itu dari mana? Dan saya mahu tanya kepada Shahrizat RM250 juta itu wang siapa? Itu yang saya mahu beliau jawab,” katanya kepada Sinar Harian.

Natrah yang mewakili PKR Johor berkata, dalam isu tersebut, Shahrizat sentiasa mengecam Ahli Parlimen Am­pang, Zuraida Kamaruddin dan PKR sendiri kerana menceritakan kegunaan wang RM250 juta yang disalahgunakan oleh beliau.

“Walaupun pada asalnya wang tersebut bagi penternakan lembu untuk dibekalkan ke seluruh negara, tetapi apa jadi sekarang? Apabila perkara ini dibangkitkan dan Laporan Au­dit Negara ada menyatakan ten­­tang penyelewengan itu maka kami Pakatan Rakyat (PR) mahu menimbulkannya bagi mendapatkan penjelasan.

“Walau bagaimanapun, Umno dilihat seolah-olah mahu mempertahankan isu RM250 juta ini,” katanya.

Natrah berkata, mewakili Wanita Johor beliau ingin memaklumkan bahawa teluslah dalam pemberian RM250 juta dan projek apa sebenarnya yang dilakukan.

“Kita di Malaysia ada penternak dan petani oleh yang demikian kenapa wang tersebut tidak disalurkan kepada mereka. Ini tidak, mereka beri wang tersebut kepada satu kumpulan dan untung tidak ada, tetapi semakin rugi,” katanya.

Sementara itu, apabila diminta mengulas mengenai bantahan yang dilakukan oleh anak-anak muda Simpang Renggam terhadap pengedaran risalah yang dilakukan oleh PR, Natrah menjawab, anak-anak muda tersebut tidak tahu apa yang dilakukan mereka kerana ada pihak yang menyuruh mereka melakukan sedemikian.

Beliau berkata, jika tanya kepada anak-anak muda itu apakah NFC? Mungkin mereka tidak tahu dan mereka hanya tahu memprotes dan membawa motosikal mengelilingi Pekan Simpang Renggam bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.

“Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Ampang tidak hadir dan mereka tidak sepatutnya berbuat demikian kerana kami datang dan menyebarkan risalah secara aman tanpa menyusahkan orang lain.

“Jadi mereka tidak sepatutnya melakukan seperti itu malah, anggota polis harus bertindak terhadap mereka kerana menyusahkan orang ramai dengan perhimpunan yang diadakan itu. Walau bagaimanapun, laporan polis telah kami buat di Balai Polis Simpang Renggam.

Dalam pada itu, penyebaran risalah ini juga akan sentiasa berterusan sehingga tahun hadapan bagi menyampaikan maklumat tersebut kepada rakyat,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: