06 Januari 2012

Cucu ugut kelar nenek

12 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Demi RM50, seorang cucu sanggup mengacu pisau ugut mengelar nenek kandungnya sendiri, sebulan lalu. Padahnya, dia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman terhadap Mohd Faizal Abdul Rahim, 26, dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali kerana mengugut hendak menyebabkan kematian atau kecederaan parah.

Berdasarkan pertuduhan, buruh tersebut didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Eshah Botok, 72, di Kampung Aril, Peringat, Melor di sini, pada jam 8 pagi, 28 Disember tahun lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengacu pisau pemotong sayur sambil berkata kepada neneknya, ‘semalam aku minta seratus, mu bagi RM50, mu bawa mari pitih (duit), kalau mu tak cari, aku ‘siup’ tengkuk mu.’
Eshah yang takut dicederakan kemudian menyerahkan RM50 sebelum ke balai polis Pengkalan Chepa membuat laporan.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly, bagaimanapun, menafikan akan digunakan untuk itu membeli dadah.

Mohd Fazaly Ali kemudian menyabitkan tertuduh dengan kesalahan tersebut sebelum mengarahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya, Isnin lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: