19 Januari 2012

Kenaikan gaji kakitangan awam perlu adil- Abdullah Sani

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 19 Jan: Cadangan kenaikan gaji yang lebih tinggi bagi pegawai tertinggi kerajaan di bawah Skim Persaraan Baru Kakitangan Awam (SBPA), menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.

Ekoran itu, kerajaan mengumumkan penangguhan SBPA, yang menggambarkan sikap berdolak dalik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam mengumumkan sesuatu dasar.

Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kerajaan sepatutnya memberikan kenaikan gaji kepada penjawat dengan adil dan bukan hanya mementingkan peringkat tertinggi seperti JUSA dan TURUS.

“SBPA ini sebenarnya satu laluan untuk kroni Kerajaan untuk bertambah kaya, yang peringkat bawahan diabaikan. TURUS mendapat kenaikan gaji 50 peratus, manakala JUSA 100 peratus. Sistem ini sepatutnya membuat kenaikan yang adil,”

“Di sini kita lihat kenaikan yang tidak adil dan memberikan kesan buruk.

Namun,sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah, perkara ini tidak berlaku kerana sekiranya peringkat tertinggi menerima kenaikan 20 peratus maka semua peringkat akan mengalami kenaikan peratusan yang sama,” katanya.

Pakatan Rakyat (PR) pada konvensyen Sabtu lalu memberi jaminan mengkaji semula pelaksanaan SBPA bagi memastikan kakitangan awam mendapat pembelaan sewajarnya, sekiranya diberi mandat pada pilihan raya umum kelak.

Perkara itu ditegaskan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penggulungan di Konvensyen Pakatan Rakyat ketiga di Alor Setar, Kedah, 14 Januari lalu.

Di bawah SBPA, kakitangan awam dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Sokongan.

Pengumuman Anwar itu melegakan rakyat kebanyakan apabila pelaksanaan SBPA yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari mencetuskan rasa tidak senang di semua peringkat sektor perkhidmatan awam terutamanya di kalangan Kumpulan Pelaksana.

Ini kerana ia merugikan majoriti kakitangan awam apabila 75 peratus golongan berpendapatan rendah dalam sektor awam hanya diberi kenaikan gaji 7 hingga 13 peratus berbanding kakitangan kumpulan Turus melebihi 50 peratus dan Jusa 100 peratus.

Skim SPBA juga tidak dirundingkan secara terperinci dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebelum dijadikan dasar.

Keadilan Daily

1 ulasan:

JAKA berkata...

ceupacs minta penyelarasan(kenaikan gaji) tetapi yg diberi oleh jpa adalah skim baru.

penyelarasan tidak dibuat kerana akan meningkatkan perbelanjaan tinggi kerajaan manakala dgn membuat skim baru ianya boleh dibuat timbang tara(tokok tambah dan kurangkan mana yg perlu). maka dapat mengurangkan pertambahan kos membayar gaji keseluruhannya.

skim baru dengarnya dibuat dgn mengupah perunding swasta dan bukan dtg dari jabatan2 kerajaan sendiri. maka banyak lah berlaku kelemahan dan ketidakadilan.

kerana itu ianya tidak telus dan dikerah penjawat awam tandatangan dgn tergesa2. amat memalu dan mencurigakan bahawa satu skim baru disuruh tandatangan sebelum ianya dikaji secara halus oleh penjawat awam sendiri.

along pun tak mcm tu.

dasar kerajaan yg selalu diwarwar ialah utk merapatkan jurang kaya dan miskin. dlm konteks ini jurang gaji pegawai atasan dan penjawat bawahan. tetapi yg berlaku sebaliknya.

yg dirapatkan jurang ialah diantara gred kanan dan gred biasa bagi jawatan sokongan dan perlaksana yg sama.

sedangkan jawatan tertinggi semakin jauh jurang dgn penjawat bawahan.

jawatan premier dibuka kepada org luar juga satu kemusykilan. dgn gaji yg tinggi dan jawatan yg berbidang kuasa luas, sudah tentu jika dibuka kepada org luar, ia disyaki ada agenda kepentingan politik parti pemerintah.

jika gaji tinggi dianggap boleh menyebabkan jawatan premier meningkat tinggi prestasinya, maka panjangkan lah konsep yg sama kepada penjawat bawahan semuanya supaya sama2 berprestasi tinggi.

tidakkah kerajaan sedar bahawa dusah ada sebahagian penjawat awam yg menjadi lemah motivasi mereka kerana skim baru ini tidak menarik malah hanya menerima kenaikan beberapa 'sen' saja. tak berbaloi.