04 Januari 2012

Peguam negara, SPRM tidak telus siasat rasuah Taib Mahmud

10 Safar 1433H. [MOD] -

SARAWAK 4 Jan: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara dianggap tidak telus dalam siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang terlibat dengan pelbagai skandal rasuah dan salahguna kuasa.

Ketua Angkatan Muda Sarawak, Ahmad Razib Johari mengulas kenyataan polis antarabangsa Interpol, bahawa siasatan mengenai jenayah membabitkan Taib , hanya boleh dilakukan pihak berkuasa Malaysia.

“Ia memberi maksud agar jabatan peguam negara perlu mengambil tindakan tegas, bukan memilih atau melihat siapakah orang yang diadu, seolah tidak mengambil serius ke atas dakwaan tersebut. Ini tidak menggambarkan SPRM dan jabatan peguam negara telus dalam jalankan tugas.

“Sehingga hari ini tidak ada laporan hasil siasatan SPRM dan tidak ada juga pendirian pejabat peguam negara berkenaan siasatan SPRM. Apakah Peguam negara mahu tunggu sehinga rakyat sendiri buat keputusan?,” soal beliau.

Menurut Ahmad Razib, pihaknya telah membuat lima laporan kepada SPRM, iaitu di Shah Alam, Kuching, Sibu, Miri, dan Putrajaya.

“Bila ada aduan SPRM berkata ‘kami hanya menyiasat, untuk apa-apa tindakan pendakwaan hanya di bawah Jabatan Peguam Negara’,”

“Jadi maksudnya kita tidak ada pilihan lain. Kalau Najib arah tidak didakwa, tidak ada guna juga,” ujar beliau.

Awal bulan lalu, BMF dan 16 NGO lain menulis sepucuk surat mendedahkan kepentingan keluarga Taib dalam 332 syarikat Malaysia dan 85 syarikat asing di 25 negara yang dianggar berbilion ringgit.

Kepentingannya di dalam 14 syarikat di Malaysia sahaja dianggar sebanyak RM4.6 bilion.

BMF dan NGO terbabit menggesa Malaysia menahan Taib dan ahli keluargnya kerana melakukan salahguna jawatan awam, rasuah dan konspirasi untuk membentuk sebuah organisasi jenayah.

Surat 10 muka itu ditandatangani oleh 13 NGO dari Malaysia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom.

Keadilan Daily

Tiada ulasan: