12 Januari 2012

PRU13: PAS Terengganu kemuka 5 manifesto tambahan

18 Safar 1433H. [MOD] -

HULU TERENGGANU, 12 Jan: PAS Terengganu menawarkan lima manifesto tambahan dalam usaha menawan semula negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Menurut Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Abdul Wahid Endut (gambar), lima perkara yang ditawarkan itu adalah tambahan kepada manifesto lima perkara yang diumumkan pada 15 Oktober tahun lepas.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Harian PAS negeri di Pejabat PAS Hulu Terengganu di Kuala Berang, hari ini, beliau berkata, lima tawaran itu termasuk meneruskan perjuangan mengembalikan royalti petroleum, pengambilan balik tanah yang terlibat dengan pembangunan rumah kediaman oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan tapak gantian baru atau rumah penempatan gantian kepada pemilik terlibat.

Katanya, PAS juga menawarkan bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama kepada pengguna domestik rumah yang bermeter individu setiap bulan, menambah sekolah menengah agama rakyat dan memberikan geran tahunan kepada sekolah berkenaan dan pusat-pusat pengajian pondok.

Di samping itu, katanya diwujudkan semula institusi pengajian Islam milik kerajaan negeri seperti Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dengan mengutamakan anak-anak negeri.

Abdul Wahid ketika berucap pada ceramah perdana sempena Sambutan 100 Tahun Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk di Kuala Berang, 7 Januari lalu, telah menyentuh lima manifesto tambahan itu.

Mengenai sekolah menengah agama, katanya PAS negeri melihat kekurangannya menyebabkan kerugian kepada rakyat.

Sebanyak 14 buah sekolah menengah agama termasuk Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin yang telah berusia lebih seratus tahun, telah diserah kepada kerajaan pusat oleh kerajaan Umno BN negeri.

Katanya, atas permintaan rakyat untuk menghantar anak-anak ke sekolah menengah agama yang meningkat setiap tahun, PAS berjanji akan mewujudkan sekolah menengah agama rakyat di setiap daerah sekiranya diberi mandat memerintah negeri pada PRU 13 nanti.

“Kita nak tambah sekolah menengah agama negeri di setiap daerah serta memberi geran tahunan kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan pusat pengajian pondok, sekolah agama di bawah kerajaan negeri tak, ada 14 (buah) dia (Umno BN) serah ke (kerajaan) pusat,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Sementara itu, pelancaran lima tawaran di dalam manifesto PAS negeri telah disempurnakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena program Himpunan Kebangkitan Rakyat: PAS Ganti Umno ke-3 di Pantai Pandak, Cendering pada 15 Oktober tahun lepas.

Lima perkara awal antara yang akan dilaksanakan PAS jika diberi amanah memerintah, antaranya:

- Melaksanakan pengecualian cukai kediaman

- Menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN

- Cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami

- Menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh 3 tahun, dan

- Merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas rakyat miskin.

Malaysiakini/-

2 ulasan:

kelonsong peluru berkata...

Salam. mohon YB linkkan blog saya di blog YB: kelonsongpeluru.blogspot.com.
blog YB telah saya linkkan di kelonsongpeluru.blogspot.com

shukran.. bersama rakyat tumbangkan kezalimna, ABU

Tanpa Nama berkata...

dlm masa sblm pru13 sy mntk pas terengganu mperbykkn&meramaikan perniagaan dr luar negara&dlm negara sbgai benteng&strategi dlm memastikan manifesto yg dcanangkn akn mnjdi kenyataan...menang@kalah dlm pru13 bkn menjdi persoalan!!!!xsalah pakatan rakyat mncri pelaburan utk pembangunan malaysia dri awal...