06 Januari 2012

Sudah tahu tapi tetap diperdaya

12 Safar 1433H. [MOD] -

Penipuan membabitkan sindiket gores dan menang bukan isu baru. Walaupun sering kali didedahkan melalui media massa, namun masih ramai yang terpedaya dengan taktik licik sindiket ini. Mengikut laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri, sebanyak 189 aduan diterima sepanjang 2011 membabitkan kerugian sejumlah RM95,000.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Abdul Hamid Abu Bakar mengesahkan purata kerugian setiap mangsa penipuan sindiket berkenaan mencecah RM5,000.

Namun kebanyakan aduan diterima tidak mempunyai dokumen lengkap termasuk resit bayaran, selain nama dan alamat syarikat palsu merumitkan siasatan dijalankan.

Lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan sindiket ini di bandar raya Johor Bahru, berdasarkan aduan mangsa yang diterima KPDNKK adalah Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), JB Sentral, jejantas JB Sentral ke Plaza City Square, Jalan Wong Ah Fook, termasuk kawasan parkir beberapa kompleks membeli belah.

Modus Operandi Penipuan Gores dan Menang

Modus operandi sindiket ini ialah menipu orang ramai dengan taktik mengundang mangsa dengan menawarkan hadiah lumayan menggunakan beberapa kad atau sampul sebagai umpan.

Selepas berjaya memperdayakan mangsa, sindiket akan membawa mangsa ke premis mereka kononnya bagi urusan tuntutan hadiah, sebelum meminta sejumlah wang tertentu kononnya sebagai cukai kerajaan, bayaran iklan dan pelbagai alasan lain.

Mangsa diminta untuk membuat bayaran sama ada secara tunai, kad kredit atau mengeluarkan wang dari mesin ATM, seterusnya mengambil wang diberikan bertujuan merekodkan nombor siri sebelum hadiah diserahkan.

Selepas berjaya mendapatkan wang mangsa, sindiket akan menyerahkan hadiah seperti tilam jade, peralatan penapis air, set teater rumah, mesin urut kaki dan sebagainya sebelum ‘hadiah’ sebenar diserahkan selain itu sindiket akan membantu urusan penghantaran hadiah berkenaan ke rumah mangsa.

Kebiasaannya sindiket berkenaan akan mengeluarkan resit tanpa nama dan alamat syarikat berkenaan atau menggunakan nama syarikat dan alamat palsu. Sindiket juga dikenal pasti turut mencatatkan amaun bayaran kurang daripada bayaran sebenar.

Antara alasan diberikan, khususnya mangsa warganegara jiran termasuk mengelakkan hadiah dimenangi dikenakan bayaran cukai semasa membawa pulang hadiah.

Sindiket juga dikesan akan berpindah ke lokasi lain dalam tempoh singkat bagi mengelakkan kegiatan mereka ‘dihidu’ pihak berkuasa termasuk disedari pelanggan.

Tangkapan dan tindakan KPDNKK Johor

KPDNKK negeri telah menahan 14 ejen sindiket gores dan menang membabitkan sembilan lelaki dan lima wanita berumur 20 hingga 30 tahun, termasuk menyita sejumlah kad gores dan menang serta risalah hadiah dalam serbuan pada 20 Disember lalu berdasarkan maklumat orang ramai.

Suspek dipercayai jurujual atau ejen sindiket yang ditugaskan untuk menarik pelanggan di lokasi tertentu sebelum di bawa ke pejabat mereka untuk tujuan penipuan. Siasatan lanjut ada sindiket menawarkan hadiah lumayan kepada mangsa iaitu kereta jenis Toyota Camry dan Jade Mattress.

Terbaru, dua suspek sindiket telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 Disember lalu, kerana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20(b)(ii) Akta Perihal Dagangan 2011 namun mengaku tidak bersalah dan mereka diikat jamin RM25,000 setiap seorang.

Kedua-dua tertuduh akan dibicarakan pada 10 Januari ini.

Menurut Abdul Hamid, ini adalah kes pertama yang didakwa di mahkamah melalui undang-undang berkenaan, jika sabit kesalahan dua lelaki terbabit bakal dihukum iaitu penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain daripada tindakan berkenaan, beberapa langkah bagi mengatasi masalah penipuan gores dan menang digunakan KPDNKK termasuk:
i- Meminta pengurusan kompleks membeli belah supaya membuat pengumuman atau hebahan tentang aktiviti penipuan gores dan menang kepada pelanggan melalui sistem pembesar suara.
ii- Meletakkan notis sebagai peringatan kepada orang ramai di kawasan ’panas’ supaya orang ramai tidak terpedaya oleh sindiket yang aktif di lokasi berkenaan.
iii- Menjalankan pemeriksaan berkala dan pemantauan statik di kawasan ‘panas’ dan mengambil tindakan untuk menahan termasuk soal siasat terhadap suspek.
iv- Meminta pengawal keselamatan di kompleks membeli belah supaya mengusir ejen sindiket yang beroperasi dikawasan premis mereka.
v- Mendapat kerjasama daripada pihak polis untuk membuat rondaan di kawasan ‘panas’.
vi- Menyebarkan risalah kepada orang ramai mengenai aktiviti penipuan gores dan menang.
vii- Memberi ceramah dan menyebar maklumat penipuan gores dan menang melalui media massa selain forum kepenggunaan yang diadakan.

Penyelesaian

Bagi membanteras kes penipuan gores dan menang dengan lebih berkesan KPDNKK turut mendapat kerjasama daripada pihak polis bagi mengambil tindakan terhadapan sindiket melalui Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Modus operandi sindiket adalah satu penipuan muslihat atau International Deception iaitu menggunakan taktik penyelewengan gores dan menang bertujuan memperdaya mangsa menyerahkan wang untuk membeli barangan walaupun tiada niat untuk membelinya.

Niat jahat sindiket boleh dikesan dengan cara operasi perniagaan mereka dengan menggunakan alamat palsu selain menggunakan nama individu yang tidak dapat dikesan.

Dibawah Seksyen berkenaan jika sabit kesalahan individu berkenaan bakal berhadapan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan selain boleh dikenakan denda.

Sinar Harian

Tiada ulasan: