06 Januari 2012

Turun bendera PM: Adam adli beri keterangan

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim hari ini hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi susulan insiden beliau menurunkan bendera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 18 Disember lalu.

Adam yang merupakan penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemani peguam dari Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri.

Menurut Fadiah, polis memberitahu Adam Adli dipanggil kerana terdapat laporan polis yang telah difailkan terhadapnya.

Bagaimanapun menurutnya, pegawai polis berkenaan tidak menyatakan asas mengapa Adam dipanggil dan enggan membenarkan beliau melihat laporan tersebut.

“Apabila ditanya atas alasan apa anak guam saya dipanggil, pegawai ini berkata, Adam dipanggil di bawah Seksyen 504 Kanun Acara Jenayah kerana didakwa menimbulkan sesuatu yang memecah belahkan keamanan dengan risikonya hukuman penjara dua tahun,” katanya kepada pemberita sebaik sahaja Adam selesai memberikan keterangan.

Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) menyerahkan memorandum yang didakwa mengandungi bukti kekasaran polis terhadap mahasiswa di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang ini.

Kekasaran itu didakwa dilakukan polis pada demonstrasi aman di hadapan UPSI, 31 Disember lalu, menuntut Adam tidak dikenakan tindakan tatatertib berhubung tindakan menurunkan bendera gambar Najib.

Demonstrasi itu turut mendesak Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan.

Polis didakwa bertindak kasar terhadap Pengerusi Bebas, Safwan Anang sehingga terpaksa dirawat di hospital.

Seramai 17 mahasiswa ditahan pada malam tersebut.

Harakah Daily

Tiada ulasan: