21 Februari 2012

Penyenaraian FGVH: Henti usaha 'rasuah' penerokaPenyenaraian FGVH: Henti usaha 'rasuah' peneroka

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendesak pihak pentadbiran Felda menghentikan sebarang usaha 'merasuah' peneroka supaya bersetuju dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, beliau mendapat maklumat usaha 'memujuk' itu sedang giat dilakukan di seluruh kawasan Felda.

Ianya termasuk satu surat pekeliling daripada pengurus Felda kepada peneroka yang meminta maklumat keluarga peneroka kononnya bagi tujuan pemberian saham.

"Mereka juga mewar-warkan kononnya peneroka akan mendapat sejumlah wang dari penyenaraian.

"Yang peliknya ada peneroka ditawar RM10,000 dan sesetengah peneroka ditawar RM20,000," katanya kepada Harakahdaily.

Selain itu, pekeliling itu juga kata Mazlan turut meminta peneroka melampirkan salinan geran ladang utama, geran ladang tambahan, geran rumah dan salinan kad pengenalan ahli keluarga peneroka dipercayai untuk tujuan penyenaraian itu.

Menurut Mazlan lagi, tindakan-tindakan tersebut adalah menyalahi prosedur sepatutnya kerana isu penyenaraian ini masih lagi tergantung dan sedang dalam proses mahkamah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pekeliling dan tawaran wang itu sebagai usaha Felda memujuk peneroka mengikut kehendak pentadbiran Felda.

"Saya akan buat satu laporan SPRM dan laporan polis 22 Februari ini.

"Saya harap pengurus-pengurus felda dapat tarik balik serta-merta pekeliling ini," katanya.

Semalam, beliau bersama peguam Mohd Harris Abdullah menyerahkan perintah injunksi mahkamah kepada pentadbiran Koperasi Pemodalan Felda (KPF) yang melarang mereka membincangkan soal penyenaraian pada Mesyuarat Agung Khas (EGM) KPF 22 Februari ini.

Harakah Daily

Tiada ulasan: