20 Mac 2012

Adakah mahu had umur kenderaan di jalan raya?

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: PAS ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menentukan had umur kenderaan bermotor yang dibenarkan menggunakan jalan raya.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Husain (gambar) mengemukakan pertanyaan itu pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Berikut adalah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli Parlimen PAS, hari ini.

Tuan Muhammad bin Husain [Pasir Puteh] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk menentukan had umur kenderaan bermotor yang dibenarkan menggunakan jalan raya.

Tuan Khalid bin Abdul Samad [Shah Alam] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan dari mana Kerajaan Pusat telah memperolehi pinjaman 'dalam negeri' dan berapakah jumlah yang diambil dari KWSP.

Tuan Mohd. Abdul Wahid bin Endut [Kuala Terengganu] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sama ada kajian alam sekitar EIA (Enviromental Impact Assessment) dibuat terhadap projek ternakan udang i-SHARP oleh Syarikat Blue Archipelago di Setiu Terengganu yang menyebabkan dua kali berlaku banjir luar biasa di kawasan tersebut musim tengkujuh yang lalu.
Dato' Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena] minta PERDANA MENTERI menyatakan tentang perlaksanaan projek lebuh raya pantai barat:-
(a) kenapa berlaku peningkatan dari kos asal RM3.1 bilion kepada RM7.1 bilion; dan
(b) kenapa berlaku perubahan tempoh konsesi dari 33 tahun kepada 60 tahun.

Tuan Haji Nasharudin bin Mat Isa [Bachok] minta PERDANA MENTERI menyatakan kenapakah sehingga hari ini Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masih menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perbicaraan.

Dr. Siti Mariah Binti Mahmud [Kota Raja] minta PERDANA MENTERI menyatakan langkah-langkah yang diambil pihak Kerajaan untuk membantu rakyat yang diisytihar bankrap apabila kebankrapan mereka disebabkan oleh pihak lain (contoh - rumah terbengkalai).

Adakah Kerajaan bercadang mewujudkan polisi baru untuk membezakan kebankrapan yang disebabkan oleh penganiayaan dan kezaliman (yang bankrap adalah mangsa) daripada kebankrapan yang disebabkan kecuaian atau keengganan membayar hutang.

Dato' Seri Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan rancangan masa hadapan pihak Kerajaan Malaysia tentang hubungan diplomatik dengan Iran setelah sekatan demi sekatan dilaksanakan termasuk yang terbaru sekatan mengimport petroleum dari Iran oleh negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Puan Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan jumlah anak luar nikah di seluruh negara pada tahun 2007 hingga 2010 dan berapakah jumlah dalam jagaan di rumah kebajikan di seluruh negara.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat] minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi masalah pengangguran siswazah-siswazah yang makin meningkat sekarang ini.

Harakah Daily

Tiada ulasan: