29 Mac 2012

Disepak, tendang, seret 100 meter

6 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – “Tidak cukup disepak, ditendang dan ditumbuk seluruh badan, saya turut diseret sejauh kira-kira 100 meter.

“Saya diperlakukan tidak ubah seperti seekor binatang oleh kumpulan itu tanpa usul periksa,” demikian luah Sufian Abdullah, 36, dari Kampung Gong Kemunting, Kuala Ibai, di sini, semasa menceritakan detik hitam dibelasah sekumpulan lelaki, selepas dia disyaki terlibat kes jenayah pecah kereta di kampung itu, 23 Mac lalu.

Sufian berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam semasa dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli sebungkus rokok di kedai berhampiran dengan menunggang motosikal.

“Dalam perjalanan, saya perasan ada dua pemuda dikenali sedang mengekori tetapi tidak mengesyaki apa-apa. Sejurus sampai di belakang rumah, saya dihampiri mereka dan bimbang diapa-apakan, saya cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, tanpa disedari rupa-rupanya kawasan sekeliling rumah saya telah dikepung oleh rakan-rakan mereka yang terdiri lebih kurang 20 orang,” katanya.

Menurut Sufian, dia dikejar kumpulan terbabit yang masing-masing memegang senjata seperti playar, wayar, batang paip dan sebagainya.

“Mereka membelasah saya sehingga hampir pengsan tanpa menjelaskan kenapa mereka berbuat demikian dan selepas teruk dibelasah, baru mereka menghubungi polis untuk tangkap saya,” katanya.

Sufian berkata, ketika ditahan polis, baru dia tahu punca sebenar kenapa kumpulan terbabit menyerangnya namun setelah disoal siasat, polis membebaskannya kerana didapati tidak terlibat dengan jenayah terbabit.

“Walaupun memiliki rekod jenayah dan bergelar bekas banduan, mereka tidak sepatutnya melayan saya sebegini. Mereka tidak sewajarnya sentiasa memandang negatif terhadap diri saya.

“Sepatutnya mereka memberi peluang kepada saya untuk mengubah masa depan dengan memperbaiki kehidupan saya sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, akibat perbuatan melulu kumpulan terbabit, dia mengalami kecederaan yang agak serius di bahagian mata iaitu bengkak dan lebam di kedua-dua belah mata, lebam kedua-dua belah cuping telinga, rahang, pening kepala dan sakit di seluruh sendi badan.

Tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian rupa, Sufian yang bekerja sebagai buruh telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada 24 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin semalam mengesahkan menerima laporan terbabit dan kes sedang disiasat.

Sinar Harian

Tiada ulasan: