20 Mac 2012

Kereta bertembung bas

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Puluhan penumpang sebuah bas henti-henti cemas apabila bas mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan Mambau - Port Dickson, berdekatan Batu 5, di sini petang kelmarin.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta jenis Proton Iswara maut itu di tempat kejadian, manakala dua penumpang bas cedera dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini sebagai pesakit luar.

Dalam kejadian kira-kira 5.40 petang itu, bas dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an dikatakan membawa 25 penumpang dalam perjalanan ke arah Seremban.

Ketika tiba di lokasi kejadian, Proton Iswara yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan, sebelum terbabas dan bertembung dengan bas berkenaan.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kereta berkenaan, P.Teyaho, 45, dalam perjalanan pulang menuju ke rumahnya di Bandar Springhill, Port Dickson.

“Sejurus tiba di sebuah selekoh, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum berpusing. Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit selama hampir 30 minit di dalam kereta, bagaimanapun disahkan mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian badan dan kepala,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, mayat Teyaho dibawa ke HTJ, di sini untuk bedah siasat.

Menurut jurucakap, bas terbabit terbabas ke bahu jalan sehingga mengakibatkan dua penumpang wanita berusia 20-an dan 50-an cedera dan dirawat sebagai pesakit luar di HTJ.

“Pemandu bas itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga terdekat mangsa, R Sharmini, 27, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan mengenai kematian Teyaho.

“Saya sempat berjumpa dengan dia kira-kira 4.30 petang di Rahang. Waktu itu, saya tidak nampak perubahan pelik mengenai mangsa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bilik Mayat HTJ, semalam.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

sinar harian/-

Tiada ulasan: