20 Mac 2012

Khalid Samad : Rakyat Selangor Sedar Nasib Malang Jika Bawah Umno-BN

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Rasuah, kenaikan harga air dan pemesongan harta awam antara implikasi yang rakyat Selangor bakal terima jika Umno-BN kembali memerintah selepas pilihan raya yang akan datang.

Sambil mengatakan peluang untuk Umno-BN menakluk kembali Selangor adalah gelap, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad berkata rakyat kini bijak menilai dan tidak akan tertipu dengan kata-kata Umno-BN.

“Rakyat sedar jika peluang diberi kepada BN, maka berulanglah kembali amalan rasuah dan ketidaktelusan pentadbiran.

“Rakyat juga tahu implikasi yang bakal mereka terima dari segi kenaikan tarif air untuk menampung kerugian kroni BN iaitu Syabas.

“Rakyat juga secara keseluruhannya sedar jika BN kembali bertahta, maka segala harta milik rakyat akan difaraidkan kepada mereka sahaja,” jelas Khalid apabila dihubungi.

Khalid berkata demikian untuk menyangkal kenyataan terkini Pengerusi Umno-BN Datuk Seri Najib Razak yang gagasan itu yakin akan menakluk kembali pemerintahan Selangor daripada Pakatan Rakyat.

Najib dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah kerap kali membuat kenyataan seumpama itu di dalam lawatan mereka ke beberapa kawasan di dalam Selangor.

Khalid berkata peluang BN juga dilihat gelap memandangkan mereka kekurangan calon berkaliber untuk mencabar integriti cemerlang pimpinan Pakatan.

“Ini merupakan antara cabaran terbesar mereka kerana barisan kepimpinan negeri ini sekarang sememangnya sukar dicabar oleh barisan mereka.

“Tambah pula dengan prestasi Kerajaan Negeri yang bukan sahaja di tahap terbaik malah semakin dekat di hati setiap rakyat negeri ini,” ujar Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

selangorku/-

Tiada ulasan: