20 Mac 2012

‘Mak, ada api dalam bilik!’

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

HULU TERENGGANU – “Emak ada api dalam bilik,” jeritan itu mengejutkan ibu kanak-kanak berusia lima tahun, yang sedang leka mengemas pasu bunga di halaman rumah.

Kejadian yang nyaris meragut nyawa kanak-kanak itu berlaku kira-kira jam 10.15 pagi semalam selepas bilik tidurnya terbakar.

Bahang api yang marak membakar kelambu di dalam bilik tidur Mohd Azizi Rukman, 5, menyebabkan dia terjaga dan bergegas keluar bersendirian mendapatkan ibunya, Siti Hasmah Satar, 35 yang berada di luar rumah.

Hasmah yang terkejut dengan jeritan anaknya itu, masuk ke dalam bilik berkenaan dan melihat api begitu pantas membakar kelambu dan tilam serta segala-galanya yang ada di dalam bilik serta rumahnya.

“Saya panik melihat keadaan itu dan keluar dari rumah sambil mendukung Azizi untuk menyelamatkan diri tetapi tidak sempat mengambil dokumen penting serta barang-barang lain.

“Pada masa itu saya hanya memikirkan keselamatan anak, cuma sebuah motosikal jenis Yamaha yang diletakkan di luar rumah berjaya diselamatkan orang ramai,” katanya yang ditemui di tempat kejadian semalam.

Menurutnya, walaupun mereka lapan beranak terpaksa tinggal sehelai sepinggang akibat tragedi itu, tetapi dia bersyukur kerana kebakaran ini tidak meragut nyawa anak kecilnya itu.

Hasmah berkata, dia sendiri tidak dapat meneka punca kebakaran tetapi kemungkinan ia disebabkan litar pintas kerana sebelum ini beberapa kali pendawaian di rumahnya mengalami kerosakan.

“Malam tadi kami tidur tidak memasang ubat nyamuk atau lilin, lagipun pemetik api ada dengan saya kerana mahu membakar sampah di luar rumah ini, mana mungkin Azizi bermain api sedangkan dia baru sahaja terjaga daripada tidur,” katanya.

Malah ketika kejadian, Hasmah gagal menghubungi suaminya, Rukman Abdullah, 44 kerana keluar bekerja di dalam hutan mencari balak di Kemaman sejak Jumaat lalu dan terpaksa menyuruh orang kampung pergi mencarinya untuk memberitahu hal berkenaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: