20 April 2012

Himpunan tanah rakyat sasar 30,000 kehadiran

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BHARU: Himpunan Tanah Rakyat yang dijadual berlangsung 5 Mei di depan di Plaza Angsana di sini bertujuan mendesak kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat. (Gambar Hiasan)

Setiausaha Gabungan Tanah Rakyat (Tanah), Suhaizan Kaiat berkata, ini kerana kerajaan-kerajaan negeri adalah pihak bertanggungjawab terhadap tanah dan pihak kerajaan persekutuan pula adalah yang mengubal Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Kanun Tanah Negara 1965.

"Pihak kerajaan negeri perlu merangkan satu mekanisma dan plan bertindak untuk menyelesaikan masalah tanah yang berlaku," katanya.

Sementara itu, pihak penganjur mensasarkan kehadiran 30 ribu orang yang akan memberikan sokongan khususnya daripada Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

"Pimpinan utama NGO dan Pakatan Rakyat seperti Sastrawan Negara Dato A Samad Said, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang, Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng akan turut bersama dalam himpunan ini," katanya lagi.

Pemilihan negeri Johor pula tambahnya kerana terdapat terlalu banyak isu berkaitan tanah berada di negeri ini.

Bermula daripada isu pengambilan tanah Gelang Patah untuk tujuan pembinaan Pelabuhan Tanjung Pelepas, terlepasnya Pulau Batu Putih kepada Singapura, penguasaan Singapura terhadap Pulau Pisang, Pontian, penjualan tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) kepada Singapura tanpa kerelaan rakyat Johor, pengambilan tanah Pengerang untuk tujuan projek petrokimia sehingga pejualan tanah strategik negeri Johor oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor(KPRJ) kepada Dato Lim Kang Hoo.

Selain itu, masalah lain juga termasuk pengusiran peneroka bandar di Kempas tanpa pampasan, penindasan terhadap peneroka Felda Cahaya Baru, tuduhan penipuan Menteri Besar Johor terhadap bekas penduduk SEDC, Tampoi, ancaman pengusiran peneroka bandar di Skudai Kiri serta projek terbengkalai Taman Perumahan Taman Desa Kempas atas tanah kerajaan negeri.

"Isu ini telah melibatkan puluhan ribu rakyat yang telah, sedang dan akan ditindas oleh pihak-pihak tertentu," tegasnya sambil memaklumkan 10 tuntutan akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Johor.

Harakah Daily

Tiada ulasan: