18 April 2012

Lima dicekup ceroboh hutan

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Gara-gara menjalankan kerja tanah di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH) Puchong tanpa kebenaran Jabatan Perhutanan Selangor, lima pekerja syarikat kontraktor yang dilantik pemaju dicekup manakala empat jentera digunakan dirampas pihak berkuasa itu.

Difahamkan, kerja dijalankan pihak kontraktor dilantik pemaju itu bagi membuat lencongan arah aliran air dari HSAH supaya tidak mengalir ke kawasan perumahan di Bandar Puteri 9 yang sebelum ini pernah dilaporkan berlakunya kejadian tanah runtuh.

Sinar Harian turut dimaklumkan kontraktor yang menjalankan kerja itu mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) namun tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Negeri.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (Selangor), Mohd Yussainy Md Yusop berkata, kontraktor pemaju terbabit didapati menceroboh kawasan hutan tanpa kebenaran.

Menurutnya, ketika pihaknya tiba di lokasi kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, kontraktor pemaju didapati melakukan kerja tanah tanpa pengetahuan pihak jabatan.

“Mereka sudah menolak tanah dan menebang pokok dengan jarak 50 meter malah difahamkan sudah menanam culvert di bawah tanah.

“Kita arahkan kerja dihentikan serta-merta manakala semua mesin dan jentera digunakan disita,” katanya pihaknya kesal kerana pelaksanaan perkara itu tidak dimaklumkan kepada Jabatan Perhutanan yang menguruskan hutan simpan.

Beliau berkata, tindakan diambil dan disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana pihak berkenaan didapati melakukan beberapa kesalahan.

Antara kesalahan dilakukan katanya, termasuk di bawah Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara kerana memasuki hutan simpan tanpa kebenaran dan Seksyen 81 kerana menolak dan membersihkan kawasan tanpa kebenaran.

“Jika sabit kesalahan, pemaju berdepan tindakan denda sehingga RM500,000 atau penjara satu hingga 20 tahun. Semua yang ditahan hari ini (semalam) akan ditahan dan diambil keterangan.

“Saya sudah maklumkan kepada MPSJ tindakan diambil berdasarkan prosedur di bawah Akta Hutan Negara dan pihak kami akan membuat kertas makluman kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Yussainy berkata, Jabatan Perhutanan kesal kerana hutan simpan menjadi mangsa untuk menyelesaikan masalah teknikal tanah yang timbul akibat pembangunan pesat.

Isu berkenaan katanya banyak berlaku di tempat lain dan ia juga berikutan ada kawasan tidak sewajarnya diluluskan dalam Pelan Kebenaran Merancang oleh majlis tetapi diluluskan sehingga akhirnya menyebabkannya masalah di kemudian hari.

“Apabila timbul isu, aliran air bawah tanah dan sungai dialihkan pula, perkara ini dipandang serius kerana kita tidak mahu hutan jadi mangsa keadaan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: