27 Jun 2012

Baling parang nyaris kena nenek

7 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Angkara tidak tahan sering dinasihati bapa, seorang anak bertindak bagai orang hilang kewarasan apabila sanggup mengamuk menggunakan sebilah parang dalam satu kejadian di Kampung Padang Sena, Pulau Musang, di sini, Jumaat lalu.

Perbuatan si anak, Shahrul Fadlisman Nawi, 21, itu bukan sahaja membahayakan nyawa bapa kandungnya sendiri, malah turut membabitkan nyawa neneknya yang sudah uzur.

Apa yang menyedihkan, semasa sedang mengamuk, dia telah bertindak membaling parang yang dipegangnya itu dan nyaris terkena neneknya yang turut berada
di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, perbuatan Shahrul Fadlisman itu terbalas setelah dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, dan bakal berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh semalam mengaku bersalah di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret, Rusli Ahmad, melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah, bapanya sendiri di kediaman mereka
pada 22 Jun lalu kira-kira jam 4 petang.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun sama.

Rusli menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh jatuh hukuman terhadapnya sejurus pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala Shahrul Fadlisman tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Shahrul Fadlisman mengamuk secara tiba-tiba dengan memegang sebilah parang dan terus membaling parang berkenaan sehingga hampir terkena neneknya yang kebetulan turut berada di tempat kejadian.

Melihatkan situasi itu, bapanya yang bimbang perkara tidak diingini berlaku, mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: