26 Jun 2012

Cermin kereta kena pecah Beg tangan

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

DUNGUN – Seorang Pegawai Penguat Kuasa Syariah wanita kerugian kira-kira RM2,000 apabila cermin kereta Perodua Kenari miliknya yang diletakkan di hadapan sebuah bank di sini dipecahkan oleh penjenayah.

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu dipercayai berlaku ketika pegawai berkenaan, Rohaida Abdul Rahim, 32, meninggalkan keretanya di tepi jalan sebelum memasuki sebuah kedai untuk membeli barangan keperluan.

Bagaimanapun, sebaik Rohaida yang bertugas di Unit Penguatkuasaan Syariah Pejabat Agama Dungun itu selesai melakukan urusan di kedai berkenaan dan masuk ke keretanya, dia terkejut apabila mendapati cermin tingkap kiri keretanya yang diletakkan berhampiran Pejabat Daerah Dungun itu pecah.

Rohaida kemudiannya mendapati beg tangan yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan turut lesap.

“Sebaik saya tiba di kereta, saya dapati cermin tingkap kereta pecah dengan kaca bertaburan di atas tempat duduk. Ketika itu, saya hanya terlintas beg tangan saya di bawah tempat duduk itu, rupanya ia turut lesap dilarikan pencuri, terbabit” katanya.

Akibat kejadian berkenaan, Rohaida yang kelihatan masih trauma dengan kejadian tersebut mengalami kerugian kira-kira RM2,000 apabila tunai kira-kira RM800 dan barang kemas dalam beg tangannya turut lesap.

Berdasarkan keadaan cermin kereta milik isteri anggota polis itu, ia mungkin dipecahkan dengan menggunakan topi keledar.

Rohaida yang berasal dari Gong Pasir itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Dungun, kira-kira jam 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Pihak polis sedang melakukan siasatan terhadap kes terbabit.

Sinar Harian

1 ulasan:

Wanita Bertudung Hijau berkata...

kereta saya pun kena pecah 2 bln lepas, kemudian bulan lepas kena curi terus.

ujian drpd Allah utk insan yg byk dosa mcm sy

area ofis sy ni mmg kawasan panas kes kete kena pecah n hilang, tal faham tak faham