17 Jun 2012

Dihempap lampu jalan

27 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH – Seorang pelajar tingkatan empat maut dalam keadaan tragik apabila kepalanya dihempap lampu jalan selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu merempuh tiang lampu berhampiran Kampung Kuala Pari Hilir, Menglembu di sini, kelmarin.

Hentaman kuat itu menyebabkan mangsa, Muhamad Aizat Idrus, 16, maut sertamerta ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pemboncengnya yang hanya dikenali sebagai Azizul, 16, patah kaki kiri dan dihantar ke Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB).

Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist ACS itu menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai terbabas sewaktu melalui kawasan selekoh berhampiran projek perumahan di kawasan tersebut.

Rakan mangsa, Muhammad Faiz Abd Rahim, 17, berkata, dia sempat mengajak Muhamad Aizat untuk bermain bola sepak bersamanya sebelum arwah beredar untuk bermain sepak takraw di kampung bersebelahan.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian ketika terserempak mangsa berlumuran darah terbaring di bawah tiang lampu jalan.

“Arwah ada singgah di tepi padang untuk lihat kami bermain bola sepak. Dia menolak ajakan kami kerana mahu bermain sepak takraw.

“Ketika pulang, saya nampak ada orang ramai menutup mayat arwah dengan menggunakan surat khabar. Jenazah kemudian dihantar ke hospital dengan trak polis,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di perkarangan Unit Forensik HRPB di sini.

Sementara itu, bapa mangsa, Idrus Sujak, 48, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak bongsunya itu selepas dimaklumkan oleh sepupunya yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

“Saya tidak percaya dengan apa yang berlaku kerana saya tidak sedar arwah keluar rumah. Saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya. Idrus yang bekerja di Majlis Bandaraya Ipoh memberitahu jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala Pari Hilir, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian tersebut.

sinar harian/-

Tiada ulasan: