27 Jun 2012

Dipenjara 5 tahun rompak guna spanar

7 Syaaban 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua kali sebatan ke atas seorang lelaki selepas didapati bersalah melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang wanita dua tahun lalu.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Fadzil Hashim, 27, dari Pangkalan Batu, Tasek Gelugor yang dituduh melakukan kesalahan itu bersama tiga lagi rakan yang masih bebas, kira-kira jam 8.15 malam, 13 Januari 2010.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd Fadzil didakwa melakukan rompakan berkumpulan itu di tepi jalan berhampiran kawasan Persiaran Sungai Ara 1, Bayan Lepas dengan bersenjatakan sbatang spanar sehingga menyebabkan kecederaan dan kerugian terhadap Lim Ai Geok, 52 tahun.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami trauma selain terpaksa menanggung kerugian apabila beberapa barangan termasuk wang tunai dilarikan.

Antara barangan yang dilaporkan hilang adalah wang tunai RM900, dokumen pengenalan mangsa, dua keping kad kredit dan mata wang asing bernilai RM500.

Mohd Fadzil didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Mengikut keterangan kes, Mohd Fadzil dan tiga rakannya mengepung kenderaan mangsa dari arah depan dan belakang sebelum memecahkan cermin tingkap kereta mangsa.

Selepas memecahkan cermin kereta, keempat-empatnya didakwa memukul mangsa dan melarikan beg tangannya.

Terdahulu, Mohd Fadzil yang memakai kemeja T putih hanya dilihat duduk dalam keadaan murung di kandang tertuduh.

Ketika pertuduhan dibaca, lelaki itu mengangguk kepalanya menandakan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mohd Fadzil tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: