19 Jun 2012

Hidu habuk 24 jam

29 Rejab 1433H. [MOD] -

MENGLEMBU – Lebih 10,000 penduduk dari Taman Bukit Merah, Taman Impiana Adril dan Taman Badrishah berputus asa apabila segala aduan berkaitan pencemaran dari sebuah kilang konkrit kepada Kerajaan Negeri seolaholah dipandang ringan.

Difahamkan, isu sama sudah disuarakan beberapa kali sejak tahun 2008 sehingga satu laporan kajian dikeluarkan pada 2009, bagaimanapun pemilik kilang seolah-olah ‘kebal’ undang- undang apabila bertindak meluaskan operasinya.

Berdasarkan kajian yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri pada Mei 2009, menyatakan implikasi berterusan dari pencemaran bau udara dan bunyi boleh mengakibatkan kanser paru-paru psikososial.

Guru tadika, Liew Pick Kunn, 45, berkata, keselamatan lebih 20 kanak-kanak paling dibimbangi apabila tadikanya terletak berhadapan dengan kilang berkenaan.

“Kanak-kanak di bawah jaga saya paling berisiko terdedah dengan habuk dari lori simen yang hampir setiap hari melalui jalan di hadapan tadika ini. Di usia kecil inilah mereka mudah dapat penyakit seperti asma, gatal-gatal dan sebagainya.

“Bunyi bising dari kilang itu juga mengganggu pembelajaran kanak-kanak. Bukan itu sahaja, bau busuk dari sisa pembuangan seperti minyak dan simen mengganggu sistem pengairan di kawasan perumahan kami,” katanya ketika membuat laporan polis di Balai Polis Menglembu di sini.

Menurutnya, kehidupan mereka juga menjadi tidak normal dengan berkurung sepanjang masa bagi mengelakkan habuk masuk ke dalam kediaman termasuk bimbang dua anaknya mendapat penyakit.

“Mula berpindah, ia hanya sebuah kilang kecil yang membuat acuan. Setelah laporan dikeluarkan tahun 2009, kilang berkenaan dibesarkan pada tahun 2010 dengan membina bangunan baru oleh pemilik berkenaan.

“Kilang beroperasi 24 jam itu turut mengeluarkan bunyi bising pada waktu malam menyebabkan penduduk di kawasan ini tidak boleh tidur lena sejak dua tahun tambahan dengan jumlah lori keluar masuk semakin bertambah,” katanya.

Pada masa sama, seorang suri rumah, Manimegalai, 36, berkata, dia terpaksa menghantar anak bongsu berusia tiga bulan di rumah saudara berhampiran kerana bimbang pencemaran itu memberi kesan kepada bayinya.

“Usaha kami bertemu dengan pelbagai agensi bagi mengekang masalah itu sia-sia sahaja apabila kilang itu terus memperluaskan operasi tanpa memikirkan kesan pada penduduk setempat.

“Kami kecewa dengan sikap Kerajaan Negeri dan mahu Menteri Besar, pihak berkuasa tempatan dan exco berkaitan turun sendiri melihat masalah yang dihadapi rakyat di sini.

Nyawa penduduk terutama kanak-kanak sangat berharga,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: