01 Jun 2012

Ke Putrajaya: Mudah disebut tapi jalan berliku

11 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR, 1 Jun: Mudah sahaja nak sebut menuju ke Putrajaya, tapi jalannya penuh liku, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas sebelum melancarkan derma kilat untuk dana pilihan raya di Himpunan Hijau Menuju Putrajaya, di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, dekat sini hari ini.

"Kita nak lalu lebuh raya supaya cepat sampai di Putrajaya. Untuk buat lebuh raya, semak samun perlu ditebas," kata beliau di hadapan kira-kira 2,000 ahli yang hadir.

PAS menangguhkan muktamar tahunannya dan digantikan dengan himpunan ini bagi memberi fokus kepada pilihan raya umum ke-13 yang akan berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

Mohamad berkata, bagi menawan Putrajaya, PAS memerlukan dana yang banyak bagi memperkemas gerak kerja pilihan raya di peringkat pusat.

"PAS memerlukan dana yang banyak jadi saya harap banyak dana dapat dikumpulkan hari ini.

"Wang bukan segala-galanya tapi segala-galanya perlukan wang," katanya lagi.

Himpunan pagi tadi diisi dengan ucapan ketua-ketua Dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat dan Himpunan Penyokong PAS dan dilengkapi dengan amanat Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Petang ini pula program akan diteruskan di Stadium Darul Aman dengan kuliah Ustaz Azhar Idrus, pidato anak muda dan sketsa dari selebriti Bob Lokman.

Malam ini pula akan diisi dengan acara kemuncak iaitu munajat perdana dan ceramah pimpinan utama.

Harakah Daily

Tiada ulasan: