27 Jun 2012

PM Pakistan mula buat perangai

7 Syaaban 1433H. [MOD] -

ISLAMABAD: Rumah peribadi milik perdana menteri Pakistan yang baru bakal dilengkapkan dengan sebuah tempat pendaratan helikopter menggunakan perbelanjaan kerajaan bertujuan mengurangkan kawalan keselamatan polis di kediaman sejauh 23 kilometer perjalanan darat dari ibu negara, kata pihak berkuasa.

Polis memberitahu AFP bahawa tempat pendaratan helikopter berkenaan adalah tambahan kepada kediaman peribadi presiden sebahagian daripada kawalan keselamatan orang kenamaan di sebuah negara di mana serangan Taliban berulang kali dan Osama bin Laden pernah tinggal di negara itu tanpa dapat dikesan selama satu dekad.

Bagaimanapun pengkritik melihatnya sebagai ‘mengecewakan’ selepas Raja Pervez Ashraf berkata keutamaan beliau adalah untuk mengurangkan pemotongan bekalan elektrik yang menyebabkan berjuta penduduk tidak menerima bekalan elektrik selama 18 jam sehari.

Ashraf yang bertugas pada Jumaat berpindah ke kediaman rasmi beliau tetapi seperti juga perdana menteri sebelum ini menjangkakan akan menghabiskan masa hujung minggu di rumah peribadi beliau sebuah rumah agam di Gujar Khan, 23 kilometer ke selatan ibu negara.

“Pegawai kanan melawat tempat itu kelmarin untuk urusan keselamatan. Satu kawasan dipilih untuk helipad dan pembinaan akan dilakukan secepat mungkin,” kata seorang pegawai polis kepada AFP.

Beliau enggan membuat spekulasi mengenai belanja tetapi berkata ia akan mengurangkan penggunaan polis yang perlu ditempatkan di 300 kawalan keselamatan antara Islamabad dan Gujar Khan.

Presiden Asif Ali Zardari terkenal mengenai kebimbangan beliau dengan keselamatan menyebabkan beliau sering menggunakan helikopter walaupun untuk perjalanan yang dekat ke lapangan terbang.

Seorang pegawai lain berkata sebuah helipad adalah satu daripada cadangan yang dipertimbangkan untuk keselamatan perdana menteri dan belum ada keputusan akhir.

Pengkritik berkata ia memberi mesej yang salah apabila berjuta-juta penduduk tinggal dalam kemiskinan, krisis kewangan yang boleh menyebabkan Pakistan memilih IMF ketika hubungan mereka dengan Washington dalam keadaan goyah.

“Beliau menikmati kedudukan tanpa menghiraukan masalah ekonomi negara,” kata seorang jurucakap parti pembangkang utama, PML-N, Siddiq-up Farooq. – AFP

Tiada ulasan: