21 Jun 2012

Rampas tembakau seludup

1 Syaaban 1433H. [MOD] -

TUMPAT – Unit PencegahanPenyeludupan (UPP) Kelantan berjaya merampas tembakau seberat 1,302 kilogram bernilai RM41,040 yang diseludup dari negara jiran selepas menahan sebuah lori di Kampung Lubok Kawah, Pasir Mas, kelmarin.

Komander UPP Kelantan, Rusli Karim berkata, ini merupakan kes pertama rampasan tembakau rokok daun tahun ini melibatkan jumlah rampasan yang agak besar dipercayai untuk pasaran dalam negara.

Katanya, rampasan itu dilakukan kira-kira jam 9.20 malam apabila anggota UPP mengekori lori yang melalui sekatan jalan raya Chabang Empat Salam, Rantau Panjang.

“Lori tersebut diekori hingga ke Lubuk Kawah dan ketika sekatan jalan raya di Chabang Empat Salam, pemandu lori tersebut tidak memberhentikan kenderaannya.

“Menyedari kehadiran anggota UPP, pemandu lori tersebut melarikan diri selepas lori tersebut berhenti secara tiba-tiba di Kampung Lubuk Kawah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat UPP Pengkalan Kubor, semalam.

Menurutnya, dengan bantuan 11 anggota UPP Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor lori terbabit yang sarat dengan tembakau yang di-syaki diseludup dari negara Thailand dibawa ke pejabat UPP Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemui 119 bungkusan plastik hitam dan putih yang di dalamnya mengandungi tembakau seberat 1,302 kilogram bernilai RM26,040.

“Sebanyak 56 bungkusan plastik hitam setiap satunya seberat 12 kilogram manakala 63 bungkusan plastik putih setiap satunya seberat 10 kilogram,” katanya.

Menurutnya, lori tersebut yang bernilai RM15,000 turut dirampas dan kesemua rampasan tersebut termasuk lori diserahkan kepada Kastam Bahagian Penguatkuasaan Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: