01 Jun 2012

Saman Khalid: Mahkamah tolak permohonan Hamidah

11 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zainal Azman Abd Aziz hari ini menolak dengan kos permohonan Datuk Hamidah Othman bagi membatalkan writ saman yang difailkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar).

Pada sekitar bulan Januari 2010 Hamidah telah melalui blognya http://hamidahosman.blogspot.com di bawah artikel bertajuk 'umat islam perlu bersatu' telah antara lain menulis tentang Khalid Samad dan menyiarkan gambar superimpose yang menunjukkan Khalid Samad berpakaian seperti seorang bishop Kristian.

Khalid telah memfailkan writ saman pada 22 Disember 2011 ke atas Hamidah kerana mendakwa artikel tersebut telah memfitnah beliau.

Pada 20 Februari 2012 Hamidah telah membuat permohonan bagi membatalkan saman Khalid dengan alasan kes tersebut sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah di bawah artikel 121 ( 1A ) Perlembagaan Persekutuan namun mahkamah telah menolak alasan Hamidah dan memerintahkan kes tersebut di mahkamah sivil.

Hakim juga mengarahkan Hamidah membayar kos RM4,000 kepada Khalid Samad.

Khalid diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Mohd Khairudin manakala Hamidah pula diwakili oleh Datuk Hafarizam.

Harakah Daily

1 ulasan:

XUMNO berkata...

Bertambah lagi Tabung Pilihan Raya Shah Alam. Puak2 UMNO ni memang murah hati, suka menderma kepada PAS.Ada siapa2 lagi orang UMNO yang loaded2 nak menerma??