21 Jun 2012

Sorok gelang dalam mulut

1 Syaaban 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Tiga­ beradik bersama nenek mereka terpaksa melalui detikdetik mencemaskan apabila disamun empat lelaki bersenjatakan pistol dan parang di Jalan Nakhoda 5, Taman Ungku Tun Aminah di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian yang berlaku jam 2,30 pagi itu, tiga beradik, Teo Chee Hui, 21; Teo Jing Yi, 19; Teo Zhing Yong, 13 dan nenek mereka, Tan Jim Lam, 68, sedang tidur nyenyak di tingkat atas rumah dua tingkat itu sebelum Jing Yi dikejutkan dengan bunyi bising di bilik abangnya.

Menurutnya, salah seorang daripada penyamun yang tidak memakai topeng mengejutkan abangnya dari tidur sambil mengacukan parang ke leher.

“Ketika itu saya terjaga kerana terdengar penyamun berkenaan menjerit meminta abang menyerahkan dompet dan telefon bimbit. Fikiran saya ketika itu ligat mencari jalan untuk menyembunyikan gelang emas yang dihadiahkan ibu sempena hari jadi ke-19.

“Dalam suasana panik itu, saya masukkan gelang tersebut dalam mulut untuk menyembunyikannya,” katanya ketika menceritakan pengalaman yang terpaksa ditempuhi dalam tempoh sejam itu.

Menurutnya, ibu dan ayah mereka telah lama bercerai dan disebabkan itu hadiah ibunya itu amat berharga bagi dirinya.

“Saya terlalu sayang pada gelang itu dan akan menjaganya sebaik mungkin,” katanya yang bersyukur tindakan pantasnya itu tidak dapat dikesan oleh empat penyamun tersebut.

Sementara itu, Chee Hui berkata, dia terpaksa menuruti sahaja kehendak empat penjenayah itu demi keselamatan mereka sekeluarga.

“Selepas mengambil beberapa barang yang mereka hajati antaranya termasuklah jam tangan, telefon bimbit, barang kemas dan sejumlah wang tunai yang kesemuanya berjumlah dalam anggaran RM20,000, mereka kemudiannya pergi ke bilik dua adik saya sebelum kami berempat diikat dengan wayar telefon di atas katil bilik nenek.

“Keempat-empat mereka kemudian melarikan diri menerusi pintu hadapan yang dipecah masuk,” katanya.

Menurut Chee Hui, dia berjaya membuka ikatan tali tersebut dan terus menghubungi bapanya yang ketika itu berada di luar.

Sementara itu, bapa kepada tiga beradik berkenaan, Teo Han Leong, 46, berkata, kejadian tersebut adalah yang keempat berlaku sejak keluarganya tinggal di situ 20 tahun lalu.

“Kali pertama berlaku pada 1993 membabitkan kerugian RM10,000 dan 2009 pula kami rugi RM5,000, namun nasib baik ketika kejadian tiada siapa berada di rumah.

“Kejadian kali ketiga pula pada tahun lalu membabitkan kerugian RM2,000.

Bagaimanapun saya bersyukur kami semua tidak diapa-apakan,” katanya.

Menurut beliau, anaknya, Chee Hui kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah pada hari yang sama.

Sinar Harian

Tiada ulasan: