01 Jun 2012

SPRM: 3 kes ditutup, teliti semula kes Azmin

11 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengumumkan penutupan tiga kes dakwaan rasuah membabitkan ahli politik manakala siasatan kes dakwaan rasuah membabitkan Mohamed Azmin Ali disyorkan diteliti semula.

Pengerusi PPO, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil hari ini memaklumkan bahawa siasatan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafie dan ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari yang diarahkan untuk dikaji semula dalam mesyuarat PPO pada 23 Febuari 2012 telah ditutup.

Katanya, setelah dikaji semula oleh Bahagian Perundangan Dan Pendakwaan SPRM, mereka mengekalkan keputusan bahawa kes ini ditutup kerana tiada sebarang bukti yang dapat mengaitkan kedua-dua Adun berkenaan dengan sebarang salahlaku rasuah.

"Bagi siasatan ke atas Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membabitkan kes National Feedlot Centre (NFC), tohmahan yang disiasat oleh SPRM adalah dari segi aspek sama ada beliau terlibat dengan pemberian pinjaman RM250 juta.

"Hasil siasatan yang diperolehi dan setelah dilaporkan kepada PPO, kita dapati Datuk Seri Shahrizat tidak terlibat dalam proses pemilihan syarikat dan pemberian pinjaman tersebut," katanya dalam satu Sidang Media selepas Mesyuarat PPO SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Jalan Duta, hari ini.

Pada masa yang sama, Hadenan turut memberitahu bahawa PPO turut menasihati SPRM supaya meneliti semula kes tohmahan membabitkan Azmin Ali yang dikatakan semasa memegang jawatan Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau mempunyai pemilikan saham dan kemasukan wang ke dalam akaun bank atas nama beliau, isteri, saudara dan sekutunya hasil perlakuan rasuah.

Katanya lagi, kes berkenaan telah lama berlaku dan siasatan dijalankan pada tahun 1995 di mana ketika itu ia membabitkan siasatan yang menggunapakai peruntukan undang-undang berdasarkan Akta Pencegah Rasuah 1961.

"Siasatan ketika itu mendapati Azmin dan isterinya mempunyai harta yang banyak tetapi dalam siasatan SPRM mendapati tiada kesalahan yang boleh dikaitkan dalam akta lama tersebut.

"Ini kerana di dalam akta lama tersebut tiada peruntukkan yang membolehkan suatu kesalahan bagi seseorang penjawat awam yang memiliki harta melebihi pendapatan dan ianya hanya ada dalam Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan kes ini telah dibuka semula pada tahun 2009," katanya.

Menurut Hadenan, berdasarkan perkembangan terbaru kes ini, panel menasihatkan SPRM supaya meneliti dan meneruskan siasatan kes tersebut.

Suruhanjaya itu turut dinasihatkan mengambil seberapa banyak usaha dalam menyelesaikan kes membabitkan ahli politik tersebut.

Ketika ditanya pemberita, Hadenan tidak menolak kemungkinan ada keperluan pegawai lama yang pernah terbabit dalam siasatan kes ahli politik berkenaan akan diperlukan untuk membantu siasatan.

"Kita memerlukan bukti. Mana-mana pihak yang perlu didapatkan keterangan akan dipanggil kerana bagi kes yang disiasat oleh SPRM mestilah mempunyai bukti yang sahih untuk menyokong keterangan kes itu," katanya.

Hadir bersama ketika sidang media ialah ahli PPO, Datin Aminah Pit, Walter Sandosam, Prof Dr Syed Noh Syed Ahmad dan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali.

Harakah Daily

Tiada ulasan: