16 Julai 2012

Ahlan Ya Ramadan Karim

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

Ramadan datang lagi menemui orang-orang yang beriman dengan menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Sebenarnya sebagai seorang mukmin yang rindukan Ramadan, mereka sudah mula menunggu kedatangannya sejak bulan Rejab lagi. Malah mereka mengharapkannya dalam doa mereka agar sempat bersama Ramadan sehingga akhirnya.
Sebuah hadis daripada Anas bin Malik menyebut:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ ، قَالَ : " اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ " .

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik r.a bahawa nabi SAW ketika masuk bulan Rejab berdoa: “Ya Allah berkati kami pada Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke Ramadan.” (Riwayat Tabarani)

Persoalan sekarang, bagaimana pula dengan mereka yang tidak pernah rindukan Ramadan? Hal ini kerana pada mereka datang Ramadan atau tidak, sama sahaja, malah ada yang rasa susah dengan kedatangannya. Ertinya mereka tidak gembira dengan kedatangan Ramadan. Bolehkah mereka berpuasa Ramadan nanti dalam keadaan itu?

Ibadah setahun sekali ini tidak menjanjikan kepada kita bahawa setiap orang akan bertemu. Hal ini kerana umur kita bukan kita yang menentukannya. Ramai juga boleh berpuasa pada tahun lalu, puasa kali ini tidak bersama kita lagi.
Malah ada yang sedang menunggu pada tahun ini pun belum tentu sempat berpuasa pada hari pertama. Oleh sebab itu peluang yang Allah berikan ini tidak harus disia-siakan.
Sebaiknya mulai bulan Rejab lagi mereka akan berpuasa sebagai persiapan awal sekali gus melatih untuk lebih maju ke hadapan. Malah mereka harus membuat persiapan untuk bertemu bulan Ramadan seperti berikut:

1. Bersihkan hati daripada sifat tidak ikhlas.
2. Banyakkan puasa sunat terutama puasa Syaaban.
3. Banyakkan ibadah sunat seperti solat sunat, baca al-Quran dan bersedekah.
4. Belajar tentang hukum hakam puasa, iaitu tentang sah batal dan seumpamanya.
5. Berdoa supaya kita dapat sampai ke Ramadan dan dapat melakukan puasa dengan sempurna.

Seterusnya menjelang Ramadan, kita perlu berazam untuk melakukan puasa bagi memenuhi tawaran Allah dan Rasul-Nya iaitu diampunkan dosa mana-mana yang terdahulu. Tawaran ini terdapat dalam hadis berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ" : مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ، وَلَوْ عَلِمْتُمْ مَا فِي فَضْلِ رَمَضَانَ لَتَمَنَّيْتُمْ أَنْ يَكُونَ سَنَةً ".

Daripada Abi Hurairah dia berkata sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya mana-mana yang terdahulu. Dan kalau kamu tahu kelebihan Ramadan nescaya kamu mengharapkan Ramadan itu setahun.” (Riwayat al-Rabi’ bin Habib)
Dalam hadis yang lain juga daripada Abu Hurairah r.a baginda bersabada:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan malam Ramadan dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya mana-mana yang terdahulu.” (Muttafa’ Alaih)
Hadis seterusnya berbunyi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ" :مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ".

Daripada Abu Hurairah sesungguhnya dia berkata, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan Lailatulqadar dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya mana-mana yang terdahulu.” (Riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis di atas, pembaca perlu mengambil perhatian serius bagaimana menghidupkan Ramadan sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Yang penting di sini, tawaran beroleh keampunan Allah mana-mana dosa yang terdahulu, harus disahut dengan sebaiknya kerana syaratnya amat mudah; puasa dengan penuh keimanan; dan puasa dengan penuh keinsafan.
Berpuasa dengan penuh keimanan bermaksud, puasa semata-mata kerana yakin kepada Allah dan rukun iman yang lain. Maka kerana yakin, mereka tidak sanggup menipu dalam berpuasa. Ternyata syarat ini ramai yang berjaya walaupun ramai juga yang berpuasa kerana takut kepada undang-undang dan malu kepada kawan-kawan. Ada juga yang berpuasa kerana isteri suruh atau bapa mentua suruh atau bos suruh.

Manakala syarat kedua, berpuasa dengan penuh keinsafan ramai yang gagal. Hal ini kerana ramai yang berpuasa, tapi kekal sifat sombongnya. Mereka tidak dapat rasa benar-benar sebagai hamba Allah. Mereka berpuasa tetapi tidak rasakan puasa ini boleh mendidik jiwanya. Dan mereka berpuasa tidak dapat rasakan bahawa dengan puasa ini boleh meninggikan maruah Islam dan umatnya. Dan kalaupun mereka bersimpati kepada orang susah, miskin sekadar mengharapkan pahala yang berganda.

Mereka gagal dalam hal ini mungkin kerana hadis di atas gagal difahamkan mesej sebenar. “Ihtisaban” dalam hadis di atas selalu difahamkan sebagai mengharap pahala, lalu kerana itu mereka berpuasa kerana hendakkan pahala. Mengapa kita mengharapkan pahala sedangkan Allah sudah tawarkan yang lebih besar iaitu pengampunan? Semoga selepas ini kita dapat betulkan semula bagaimana kita seharusnya berpuasa dalam bulan Ramadan.

Selamat menjalani ibadah Ramadan Karim, kulu ammin wa antum bilkhair

Fikrah Islamiah

Tiada ulasan: