12 Julai 2012

Akta Keharmonian bukti Najib demokrat palsu

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sekali lagi disajikan ‘transformasi’ layu lagi lesu pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang kali ini berjanji memansuhkan Akta Hasutan 1948 hanya untuk digantikan dengan satu akta baru yang bakal diberi nama Akta Keharmonian Nasional.

“Walaupun pemansuhan Akta Hasutan ini apabila dipandang dengan mata kasar kelihatan positif, namun rekod prestasi pentadbiran Najib jelas membuktikan bahawa usaha-usaha ‘transformasi’ beliau tidak lain dan tidak bukan hanyalah helah politik yang tiada daya politik untuk melaksanakan Reformasi Politik yang telus, menyeluruh, dan dituntut segenap rakyat Malaysia,” kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (gambar) dalam satu kenyataan.

Katanya, rekod prestasi pentadbiran Najib dengan terang menunjukkan beliau adalah seorang demokrat palsu apabila diingatkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dimansuhkan dan kemudian diganti dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, yang sama zalim seperti ISA.

Di samping itu, ujarnya penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang bertujuan mengekang hak rakyat Malaysia berhimpun secara aman, terutamanya apabila Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Azmin Ali dan Badrul Hisham Shaharin dituduh bersalah di bawah akta itu berkaitan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Selain itu, ujarnya Akta Keterangan (Pindaan) 2012 yang berusaha mengekang hak rakyat Malaysia bersuara, terutamanya di media atas talian seperti blog, Facebook dan Twitter, dan menggunapakai prinsip ‘bersalah hingga dibukti tidak bersalah’ (guilty until proven innocent).

Justeru, tegasnya PKR menggesa Najib untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 tanpa menggantikannya dengan sebarang akta yang mempunyai kuasa-kuasa drakonian yang sama ibarat menggantikan tubuh badan anti-demokrasi dengan baju baru drakonian yang sama lusuh; demi membuktikan bahawa beliau adalah seorang demokrat sejati dan bukannya seorang demokrat palsu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai juga menggesa Najib mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Parlimen (JKP) yang bersifat bi-partisan untuk mengkaji secara menyeluruh Akta Keharmonian Nasional yang beliau cadangkan, di mana JKP itu harus diberi mandat untuk membincangkan perihal perpaduan sosial dan perhubungan antara kaum.

Harakah Daily

Tiada ulasan: