21 Julai 2012

Masjid: Bukan fitnah tetapi sebar kebenaran

1 Ramadhan 1433H. [MOD] -

(Orang bukan Islam turut sumbang untuk Ihya' Ramadhan di Kelantan)

KOTA BHARU: PAS setuju bersetuju supaya tidak ada pihak menggunakan masjid untuk menabur fitnah, mengadu-domba, bahkan bercakap dusta dalam masjid tetapi kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah mestilah disebarkan di masjid.

“Ini kerana masjid juga tempat untuk memberi kefahaman tentang ilmu kepada masyarakat terutama pada bulan Ramadhan ramai orang (ahli jemaah) berhimpun.

“Maka sesuailah kita mengambil peluang untuk menyebarkan kebenaran Islam kepada masyarakat," kata Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Nik Mohamad Amar Abdullah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata, dalam Islam masjid bukan tempat sembahyang saja, tetapi adalah juga pusat ilmu.

Sehubungan itu Nik Amar mendakwa, selama ini Kerajaan Barisan Nasional menjadikan masjid tidak lebih hanya untuk tempat sembahyang, untuk beribadat dalam pengertian sempit.

“Sedangkan fungsi masjid yang sebenar pada zaman Nabi saw ialah sebagai pusat pentadbiran, pusat ilmu, pusat sosial.

“Semuanya berada di masjid, bahkan Nabi Muhammad saw bermesyuarat untuk berperang pun adalah di dalam masjid. Menerima deligasi-deligasi asing dan memutuskan sesuatu serta mesyuarat untuk pergi berperang pun di dalam masjid," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa kesucian masjid tidak seharusnya dicemarkan semata-mata kerana ingin mencari pengaruh atau mengaut keuntungan politik.

Media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan umat Islam agar tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang memfitnah pemerintah.

Beliau bersetuju kalau fungsi masjid itu diperluaskan, dikembalikan seperti zaman Rasulullah saw.

Ramadhan

Dalam pada itu, Nik Amar berkata, orang yang berfikiran sekular dan hidup secara sekular sering merasa gerun dengan kedatangan Ramadhan Al-Mubarak terutama pada program pengisian dan pengimarahan masjid dan tempat beribadat.

(Orang ramai menyumbang untuk Ihya' Ramadhan)

Ini kerana pengimarahan masjid biasanya tidak lepas daripada tazkirah dan ceramah yang disampaikan ilmuan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan itu mendakwa golongan itu sering menganggap masjid hanya untuk tempat beribadat semata-mata.

“Boleh jadi ada orang bimbang sebab kita memanfaatkan bulan Ramadhan untuk mempertingkatkan kefahaman Islam di kalangan masyarakat dan ahli jemaah tentang kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah.

"Mungkin ada orang yang tidak senang dengan keadaan ini terutama mereka mempertahankan pemikiran sekular dan hidup (secara) sekular, dan orang menganggap masjid ini hanya untuk tempat beribadat semata-mata," katanya.

Justeru Nik Amar mendakwa pihak Kerajaan Negeri cuba memecahkan kefahaman yang salah itu sekaligus membetulkan tanggapan masyarakat terhadap fungsi masjid dan peranan masjid yang sebenar.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadhan 1433 bersamaan 2012 di Medan Ilmu di sini pagi semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan Dato’ Ismail Samah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Fauzi Mat.

Majlis tersebut dilancarkan Nik Amar yang mewakili Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: